Saya mengikuti sesi penggulungan oleh YAB DSP Hajiji Hj Noor selaku Ketua Menteri. Antara yang menarik dalam sesi penggulungan ini ialah soalan tambahan dan saranan daripada Ketua Pembangkang, ADUN Senallang berkenaan PL Eksplorasi carigali emas di Tawau. Dalam sesi tersebut, ADUN Senallang berkali-kali menyarankan agar lesen ini diberikan kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau agensi Kerajaan dan mempersoalkan mengapa menggunakan pihak swasta.
Ingin saya berikan pandangan tentang saranan Ketua Pembangkang ini. Saya memahami mengapa YAB DSP Hajiji lebih cenderung kepada syarikat swasta berbanding menggunakan GLC/agensi Kerajaan.
Antara rasional menggunakan pihak swasta ialah kepakaran dalam bidang yang mereka pohon. Syarikat yang diluluskan lesen ini tahu bagaimana menjalankan kerja-kerja eksplorasi. Mereka ini tentu sekali memikirkan untung-rugi setiap sen yang digunakan, dan sudah tentu hasil akhir ialah mendatangkan keuntungan kepada syarikat mereka.
Berbanding jika DSP Hajiji menggunakan GLC/agensi kerajaan. Persoalannya, agensi atau GLC mana satukah yang memang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang eksplorasi mineral seperti emas? Jawapannya tiada!
Selain kepakaran, aktiviti eksplorasi ini memakan belanja yang amat besar! Malahan, sekiranya didapati tiada emas di kawasan yang diteroka, segala kerugian akan ditanggung sendiri oleh syarikat berkenaan. Sebaliknya, untuk tujuan menggunakan dana awam perlulah dibelanjakan secara berhemah dan cermat. Justeru itu, adalah lebih baik kerja-kerja eksplorasi ini dilakukan oleh syarikat swasta yang sememangnya tujuan utama mereka ditubuhkan adalah untuk mendapatkan keuntungan dalam bidang perniagaan yang mereka ceburi. Sebelum untung, lazimnya mereka perlu menanam modal dalam setiap aktiviti syarikat termasuklah eksplorasi.
Saya melihat, menggunakan pihak swasta tanpa mengeluarkan sesen pun dana awam, adalah tanda kebijaksanaan DSP Hajiji dalam membuat keputusan. Menerusi kejayaan aktiviti eksplorasi inilah, kerajaan negeri akan dapat mencari dan menilai jumlah hasil yang bakal diperolehi di atas perbelanjaan yang dikeluarkan oleh pihak swasta ini.
YAB DSP Hajiji juga ditanya tentang bagaimana kedudukan Kerajaan Negeri dalam penentuan kepentingan sekiranya terdapat mineral (emas) dalam eksplorasi tersebut? Apakah jaminan keuntungan dan keterlibatan Kerajaan sekiranya aktiviti eksplorasi berjaya? Untuk makluman, ini adalah aktiviti eksplorasi dan belum sampai kepada peringkat carigali.
Sekiranya dalam aktiviti eksplorasi itu didapati memang wujud emas di kawasan yang diteroka, barulah lesen carigali akan dikeluarkan berasingan oleh pihak SMM mewakili Kerajaan Negeri Sabah. Selepas mendapat kelulusan, di peringkat inilah barulah Kerajaan Negeri akan berbincang dengan lebih terperinci berhubung perkara-perkara melibatkan kepentingan negeri seperti jumlah pegangan saham dan sebagainya.
Pendek kata, dalam membuat keputusan terkait kepentingan negeri Sabah, saya yakin, Ketua Menteri menerusi SMM akan sentiasa mengikuti proses dan tatakelola yang betul serta sudah dipraktikkan sejak beliau mengambil alih kerajaan. Bukan hanya emas, proses sebegini merangkumi keseluruhan mineral di negeri Sabah! Kerana itu DSP Hajiji dengan yakin menjawab “Nothing to hide” apabila SMM dikaitkan dengan skandal rasuah rekaan Albert Tei!
Hikmah daripada situasi mencabar ini, yang dijawab dengan penuh tenang, seperkara yang jelas ialah kebijaksanaan beliau sebagai pemimpin. Beliau tahu memutuskan kaedah terbaik untuk meningkatkan hasil Sabah, iaitu dengan menggunakan kepakaran dan kemampuan syarikat swasta untuk menjana pendapatan dan penghasilan negeri kita!
SYABAS YAB KETUA MENTERI!

*Artikel di atas dipetik dari kenytaan Facebook, Aksyah Haji Nasrah . Beliau merupakan Mantan Timbalan Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)/ Perikatan Nasional (PN) Sabah
Add Comment