Home » Jawapan lisan keutamaan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor Ketua Menteri Sabah (Khamis)
Politik Ucapan

Jawapan lisan keutamaan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor Ketua Menteri Sabah (Khamis)

Berikut merupakan jawapan lisan untuk soalan no. 1 yang dijawab Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, pagi ini bagi pihak Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

KHAMIS, 17 APRIL 2025

  • SOALAN 1

YB. Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee [ADUN Dilantik] bertanya kepada KETUA MENTERI, apakah Kerajaan Negeri harus menggunapakai mekanisme oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam memberikan bantuan kepada mangsa bencana alam seperti banjir di mana hanya mangsa yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diberikan sumbangan walaupun ramai mangsa yang berdaftar tetapi tidak berpindah ke PPS.

JAWAPAN:

Tuan Speaker,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat ADUN Dilantik serta Dewan yang mulia ini, Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri merupakan agensi peneraju pengurusan bencana dan memainkan peranan yang amat penting dalam menghadapi sebarang kejadian bencana di Malaysia. Ini adalah selaras dengan Arahan NADMA No. 1 yang berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2024 yang sebelum ini dikenali sebagai Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20 yang bertujuan menggariskan Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana dan Pengurangan Risiko Bencana secara menyeluruh meliputi peringkat sebelum, semasa dan selepas sesuatu kejadian bencana.

Pengurusan Bencana di Malaysia mempunyai tiga (3) tahap iaitu:
1.Tahap 3 : Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP);
2.Tahap 2 : Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN); dan
3.Tahap 1 : Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dengan penglibatan pelbagai agensi yang berkepentingan.

Tuan Speaker,

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di seluruh Malaysia adalah tertakluk dan perlu mematuhi Arahan NADMA No. 1 iaitu mangsa kejadian bencana adalah layak untuk menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000.00 dengan syarat mangsa berpindah atau didaftarkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) oleh petugas Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) di daerah masing-masing dan seterusnya disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan permohonan dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Sekian.

*Berikut jawapan lisan untuk soalan no. 1 yang dijawab Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, pagi ini bagi pihak Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.