Home » LPPB bina 29,443 rumah kos rendah seluruh Sabah
Berita GRS Politik

LPPB bina 29,443 rumah kos rendah seluruh Sabah

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor disambut oleh kakitangan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) setibanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-59 LPPB di Grand Ballroom, The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, pada Sabtu.

KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berjaya membina sebanyak 29,443 unit Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di seluruh Sabah sepanjang hampir enam dekad penubuhannya, sekali gus membuktikan peranan strategik agensi itu dalam merealisasikan agenda perumahan rakyat negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, selain pembangunan perumahan awam kos rendah, LPPB turut memainkan peranan penting dalam penyediaan Rumah Mampu Milik (RMM) serta pembangunan projek komersial yang menyokong usaha kerajaan negeri merapatkan jurang sosioekonomi antara bandar dan luar bandar.

Beliau memuji komitmen berterusan LPPB yang konsisten melaksanakan projek perumahan di seluruh negeri selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan yang inklusif, seimbang dan memberi impak tinggi kepada rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Pengerusi LPPB, Datuk Awang Ahmad Sah Datuk Haji Awang Sahari dan jemputan lain memotong kek ulang tahun pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-59 LPPB di Grand Ballroom, The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, pada Sabtu.

“Kerajaan Negeri amat menghargai peranan serta sumbangan besar LPPB sebagai agensi utama kerajaan dalam sektor pembangunan perumahan dan bandar,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-59 LPPB di Grand Ballroom, The Magellan Sutera Resort, di sini, pada Sabtu.

Hajiji berkata, pencapaian itu mencerminkan kematangan LPPB yang kini melangkah ke usia 59 tahun, selain keupayaannya untuk terus kekal relevan, berdaya saing dan berkesan dalam mendepani cabaran pembangunan perumahan semasa.

“Yang paling penting, kita perlu memastikan LPPB bukan sahaja bertahan, malah terus berkembang dan menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Menurutnya, sejajar dengan hala tuju Belanjawan Negeri Sabah 2026 yang menekankan pemacuan pembangunan demi kesejahteraan rakyat, kerajaan negeri melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah terus memberi perhatian serius terhadap penyediaan perumahan awam, khususnya rumah kos rendah dan rumah mampu milik.

Bagi tujuan itu, katanya, kerajaan negeri melalui LPPB akan meneruskan pelaksanaan beberapa inisiatif utama termasuk pembangunan Perumahan Awam Kos Rendah di Sukau, Melalap, Beluran dan Pitas.

Selain itu, pelaksanaan projek Rumah Mampu Milik (RMM) melibatkan 2,358 unit di lokasi strategik seperti Sandakan, Papar dan Kota Kinabalu turut menjadi keutamaan.

Dalam aspek pembangunan bandar, Hajiji berkata salah satu mandat penting LPPB ialah merancang dan membangunkan pekan-pekan baharu bagi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat serta memperkukuh pembangunan luar bandar.

Katanya, ketika ini LPPB diberi tanggungjawab membangunkan sembilan pekan baharu, masing-masing di Tongod, Paginatan, Merotai, Sungai Melayu Sebatik, Sukau, Melalap, Ulu Dusun, Beluran dan Penangah.

“Saya berharap pembangunan pekan-pekan baharu ini dapat dilaksanakan secara terancang, mampan dan inklusif, selaras dengan keperluan rakyat serta potensi ekonomi tempatan,” katanya.

Hajiji turut dimaklumkan bahawa LPPB kini melaksanakan projek usahasama dengan sektor swasta bagi memindahkan penempatan setinggan ke kawasan penempatan semula yang lebih tersusun.

Beliau percaya inisiatif itu mampu membantu kerajaan negeri menangani isu setinggan secara lebih berkesan, sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan rakyat yang terlibat.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Menteri menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk membina lebih banyak rumah mampu milik melalui pelbagai program termasuk Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) serta pembangunan perumahan kos rendah oleh LPPB.

Katanya, bagi tahun ini, kerajaan negeri akan meningkatkan kuota Rumah Mesra SMJ daripada 40 unit kepada 50 unit bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, tambahan 10 unit itu dikhususkan kepada golongan berumur 40 tahun dan ke bawah, telah berkeluarga serta belum memiliki rumah, sebagai usaha membantu generasi muda memiliki kediaman sendiri.

“Setiap projek yang dibangunkan LPPB bukan sekadar struktur fizikal, sebaliknya membawa harapan, masa depan dan kesejahteraan rakyat.

“Di situlah nilai sebenar peranan LPPB — bukan hanya membina bangunan, tetapi membina kehidupan dan komuniti,” katanya.

–TAMAT