Home » Hajiji terima kunjungan perpisahan Duta Besar AS ke Malaysia
Berita GRS Politik

Hajiji terima kunjungan perpisahan Duta Besar AS ke Malaysia

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, TYT Edgard D. Kagan semasa menerima kunjungan perpisahan di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Khamis.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan perpisahan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Edgard D. Kagan, di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Dalam pertemuan berkenaan, Hajiji merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Edgard atas khidmat bakti beliau sepanjang tempoh bertugas di Malaysia, khususnya dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Sabah dan Amerika Syarikat.

Ketua Menteri berkata, kerjasama erat yang terjalin turut membantu mempromosikan keunikan, potensi ekonomi serta peluang pelaburan di Sabah ke peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan cenderamata kepada Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, TYT Edgard D. Kagan semasa kunjungan perpisahan di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Khamis.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada TYT Edgard atas sumbangan dan komitmen beliau sepanjang berkhidmat di Malaysia, termasuk sokongan dalam mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan, pelancongan dan kerjasama ekonomi,” katanya.

Hajiji turut menzahirkan harapan agar hubungan baik antara Sabah dan Amerika Syarikat akan terus diperkukuh pada masa hadapan, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan serta pertukaran budaya.

Sementara itu, Edgard turut merakamkan ucapan tahniah kepada Hajiji atas pelantikan semula sebagai Ketua Menteri Sabah, sambil menyifatkan kepimpinan beliau sebagai faktor penting dalam memastikan kesinambungan agenda pembangunan serta kestabilan politik negeri.

Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah sepanjang tempoh perkhidmatannya di Malaysia.

–TAMAT