Home » Maijol gesa rakyat sabah terus sokong Kerajaan GRS
Berita GRS Politik

Maijol gesa rakyat sabah terus sokong Kerajaan GRS

Maijol menyampaikan bakul makanan kepada salah satu penerima dari kalangan warga emas, ibu tunggal, dan orang kelainan upaya (OKU) di Majlis Iftar Ramadan anjuran GRS N6 Bandau di Kampung Tanjung Batu Laut.

KOTA MARUDU – Datuk Maijol Mahap menggesa rakyat Sabah supaya terus memberikan sokongan penuh kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bagi memastikan kelangsungan pembangunan dan kestabilan negeri Sabah.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Iftar Ramadan anjuran GRS N6 Bandau di Kampung Tanjung Batu Laut. Dalam majlis itu, Maijol turut menyampaikan bakul makanan kepada warga emas, ibu tunggal, dan orang kelainan upaya (OKU).

Maijol, yang juga Pengerusi GRS N6 Bandau merangkap Ketua Bahagian Gagasan Rakyat N6 Bandau, menegaskan bahawa kerajaan GRS telah menunjukkan komitmen kukuh dalam memajukan Sabah melalui pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) serta usaha meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Beliau menekankan bahawa sokongan rakyat adalah kunci utama untuk meneruskan momentum positif ini, terutama menjelang pilihan raya negeri akan datang.

“Kerajaan GRS di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah berusaha gigih memastikan Sabah terus maju. Daripada peningkatan hasil negeri hingga projek infrastruktur dan pelaburan besar, komitmen kerajaan terhadap rakyat jelas terbukti. Saya menyeru rakyat Sabah agar kekal bersatu dan menyokong kerajaan ini demi kelangsungan usaha-usaha baik ini,” katanya.

Beliau turut memuji kepimpinan Hajiji yang berjaya mengekalkan perpaduan antara parti-parti komponen GRS dan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), sekali gus menyumbang kepada kestabilan politik di Sabah. Menurutnya, kestabilan ini penting untuk menarik lebih banyak pelaburan dan memastikan manfaat sampai kepada rakyat.

Maijol berkata kerajaan GRS telah menunjukkan komitmen kukuh dalam memajukan Sabah melalui pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) serta usaha meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Maijol juga menyeru rakyat agar tidak terpedaya dengan taktik pembangkang yang cuba menggugat kerajaan melalui tuduhan dan propaganda. “Kita perlu bijak menilai dan terus mempercayai GRS yang telah terbukti bekerja untuk rakyat,” tambahnya.

Di akhir ucapannya, beliau mengajak semua lapisan masyarakat Sabah untuk bersama-sama menyokong visi Hajiji dan GRS dalam membawa Sabah ke arah kemakmuran yang lebih besar. “Marilah kita kekal bersatu dan memberikan sokongan kepada Ketua Menteri serta GRS demi masa depan Sabah yang lebih baik,” katanya.

— TAMAT