Home » MAN main peranan penting, pelihara adat resam dan keharmonian: Dr Yusof
Berita Gagasan Rakyat Politik

MAN main peranan penting, pelihara adat resam dan keharmonian: Dr Yusof

HARGAI: Yusof menyampaikan anugerah Laporan Aktiviti Ketua Kampung terbaik kepada salah seorang Ketua Kampung sempena Majlis Makan Malam MAN Daerah Sipitang yang diadakan di QSS Mesapol Sipitang.

SIPITANG: Mahkamah Anak Negeri (MAN) di peringkat daerah memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai mata dan telinga kerajaan tetapi juga dalam menjaga adat resam serta keharmonian masyarakat setempat.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, ia sejajar usaha kewujudan MAN dalam memastikan kebajikan masyarakat yang tinggal di luar bandar terpelihara terutama membabitkan aspek adat resam.


Katanya, kerajaan telah melantik Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dan Ketua Kampung untuk menganggotai MAN termasuk mengadili sebarang kesalahan-kesalahan adat.

MERAIKAN: Sebahagian pemimpin MAN yang hadir pada Majlis Makan Malam MAN Daerah Sipitang yang diadakan di QSS Mesapol Sipitang.

“Justeru, peranan MAN ini sangat penting dalam mewujudkan suasana harmoni di kampung dan menjaga adat resam kaum. Kerajaan mengiktiraf peranan MAN ini,” katanya pada Majlis Makan Malam MAN Daerah Sipitang yang diadakan di QSS Mesapol Sipitang.


Hadir sama, Pegawai Daerah Sipitang Abd Karim A.M Zahari; KAN Daerah Sipitang OKK Daut Kassim dan Pegawai Kemajuan Masyarakat DUN Sindumin Asryaf Munir.


Dalam pada itu, Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Berhad berkata, terdapat 43 Ketua Kampung sudah dilantik di daerah ini berbanding 63 Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

CENDERAHATI: Yusof menerima cenderakenangan daripada OKK Daut Kassim sempena Majlis Makan Malam MAN yang diadakan di QSS Mesapol Sipitang.


Katanya, jumlah Ketua Kampung yang ada ketika ini tidak seimbang dengan jumlah JKKK yang ada menyebabkan ada Ketua Kampung menjaga lebih daripada tiga buah kampung.


Jelas beliau, sebaiknya Ketua Kampung menjaga dua hingga tiga kampung atau sesuai seorang Ketua Kampung menjaga sebuah kampung.


Menurutnya, sebagai ADUN beliau akan memperjuangkan perkara ini agar pentadbiran di peringkat kampung lebih teratur dan keharmonian penduduk kampung terus terjaga. 

–Kenneddy Corlleus

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment