Home » Masiung dedah fakta sebenar isu jalan raya, air dan elektrik di Sabah
Berita GRS Politik

Masiung dedah fakta sebenar isu jalan raya, air dan elektrik di Sabah

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah, menegaskan pembangkang sengaja memutarbelit fakta berhubung isu jalan raya, bekalan air dan elektrik semata-mata untuk meraih simpati rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Beliau berkata, ketiga-tiga isu itu sebenarnya di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, namun fakta dipusing supaya rakyat menuding jari kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima  Haji Hajiji Haji Noor dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Langkah pemimpin dan pengikut pembangkang menanam kebencian kepada kerajaan GRS bererti mereka sebenarnya mengkritik kerajaan Persekutuan. Ini jelas bermotif politik untuk mencari keuntungan menjelang PRN, sedangkan isu sama pernah mereka hadapi ketika memerintah dahulu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Masiung, kebanyakan jalan raya yang rosak di Sabah adalah jalan persekutuan, manakala isu bekalan elektrik pula di bawah Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang dimiliki oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Apabila berlaku gangguan elektrik, Hajiji disalahkan sedangkan hakikatnya kerajaan negeri hanya memiliki 18 peratus saham dalam SESB dan tidak mempunyai kuasa mutlak,” jelasnya.

Bagi masalah air pula, Masiung menegaskan ia berpunca daripada keputusan kerajaan negeri terdahulu yang menamatkan kontrak syarikat konsesi air dengan alasan penjimatan kos.

“Tindakan itu menyebabkan kehilangan kepakaran teknikal dan kini kerajaan negeri terpaksa membayar pampasan kira-kira RM300 juta kepada syarikat konsesi selain menanggung kos lebih tinggi akibat penamatan kontrak sebelum tempoh matang,” katanya.

Masiung menegaskan walaupun kuasa utama berada pada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri tidak pernah berdiam diri.

“GRS kini memberi tumpuan kepada kerjasama dua hala dengan kerajaan pusat bagi mencari penyelesaian jangka panjang untuk ketiga-tiga isu ini,” katanya.

Beliau mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan dakyah pembangkang yang hanya mahu menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri.

“Adalah tidak wajar menuding jari kepada kerajaan negeri semata-mata hanya kerana mereka ingin kembali berkuasa,” tegasnya.

— TAMAT