Home » Sabah rancang pendidikan percuma di UCSF & KTYS, ringankan beban pelajar
Berita GRS Politik

Sabah rancang pendidikan percuma di UCSF & KTYS, ringankan beban pelajar

ALBUM: Hajiji (duduk di tengah) bersama para peserta Konvensyen Mahasiswa Sabah di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, semalam.

PENAMPANG: Kerajaan Negeri Sabah bercadang menawarkan pendidikan percuma kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri, iaitu University College Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima  Haji Hajiji Haji Noor, berkata kerajaan juga merancang memperkenalkan dasar subsidi pinjaman pendidikan, khususnya melibatkan pinjaman PTPTN dan Yayasan Sabah, bagi mengurangkan beban hutang pelajar.

USUL: Hajiji menerima usul-usul yang telah diluluskan dalam konvensyen berkenaan.

Menurut Hajiji, sejak 2021 kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM1.3 bilion untuk sektor pendidikan , iaitu jumlah terbesar dalam sejarah Sabah. Antara inisiatif yang diperkenalkan termasuk bantuan one-off RM600 kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan melalui program GRS-SubFly, serta bantuan RM300 di bawah inisiatif SENTOSA bagi pelajar dalam negeri.

“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 peminjam. Saya yakin dasar ini praktikal untuk dilaksanakan sesuai dengan kedudukan kewangan negeri pada masa hadapan. Inilah bukti kesungguhan kerajaan GRS dalam membantu anak-anak Sabah agar akses kepada pendidikan lebih luas,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Mahasiswa Sabah di Dewan KDCA, di sini semalam.

Selain itu, dana biasiswa negeri turut ditingkatkan kepada RM136 juta pada 2025, manakala Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) ditubuhkan bagi membantu pelajar yang menghadapi kesukaran kewangan.

“Segala ini dapat dilaksanakan hasil kejayaan kerajaan meningkatkan hasil negeri ke hampir RM7 bilion, iaitu tahap tertinggi dalam sejarah Sabah,” katanya.

Hajiji turut menegaskan kerajaan tidak hanya menekankan aspek pendidikan, tetapi juga kebajikan rakyat melalui inisiatif di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Antara yang dilaksanakan termasuk pemberian Rumah Mesra SMJ secara percuma kepada golongan miskin tegar dan bantuan bulanan RM300 melalui program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) kepada 100,000 penerima bermula tahun ini.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), Hajiji menekankan bahawa masa depan Sabah kini terletak di tangan rakyat, khususnya hampir 970,000 pengundi muda.

“Masa depan Sabah berada di tangan anda. Jangan lepaskan peluang ini. Sabah tidak boleh ketinggalan lagi kerana kita mempunyai potensi besar untuk menjadi negeri maju dan berjaya. Inilah masanya,” katanya.

Hajiji menambah, Sabah kini berada pada landasan ekonomi kukuh apabila mencatatkan kemasukan pelaburan ketiga tertinggi di Malaysia pada suku pertama 2025, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak muda.

Statistik menunjukkan kadar pengangguran berjaya diturunkan daripada 8.2 peratus pada 2020 kepada 6.2 peratus pada suku kedua 2025.

“Ini bukan sekadar angka, tetapi realiti bahawa anak muda Sabah kini memiliki akses lebih baik kepada pekerjaan yang stabil,” katanya.

Beliau turut meminta agar usul yang diluluskan dalam konvensyen yang dihadiri 1,000 peserta itu dikemukakan segera kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut.

— TAMAT