Home » Masyarakat Cina rakan strategik pembangunan Sabah :Hajiji
Berita GRS Politik

Masyarakat Cina rakan strategik pembangunan Sabah :Hajiji

Hajiji menyampaikan ucapan Tahun Baharu Cina 2026 kepada masyarakat Cina di Sabah.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru masyarakat Cina di Sabah agar terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kepada Kerajaan Negeri dalam usaha membangunkan Sabah yang lebih maju, inklusif dan mampan.

Dalam perutusannya sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, Hajiji menggesa masyarakat Tionghua supaya memperkukuh kerjasama dengan kerajaan sebagai rakan pembangunan, khususnya dalam memacu pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, aspirasi Kerajaan Negeri ketika ini adalah untuk memperkasa pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) sebagai kerangka pembangunan utama negeri yang menekankan pertumbuhan ekonomi berimpak tinggi serta pengagihan kemakmuran secara adil kepada semua lapisan rakyat.

“Melalui SMJ 2.0, kita memastikan kemajuan negeri bersifat inklusif dan kemakmuran dapat dinikmati bersama tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang. Perpaduan adalah kunci utama kepada kestabilan politik serta kemakmuran jangka panjang Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, sambutan Tahun Baharu Cina yang sarat dengan nilai kekeluargaan, perpaduan dan harapan baharu bukan sahaja mencerminkan kekayaan warisan budaya masyarakat Cina, malah menjadi medium penting untuk mengukuhkan keharmonian serta semangat kebersamaan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Beliau turut menyifatkan Tahun Kuda Api 2026 sebagai simbol tenaga, keberanian dan inovasi yang wajar dijadikan inspirasi untuk seluruh rakyat Sabah melangkah ke hadapan dengan perancangan tersusun serta kerjasama erat dalam menjayakan agenda pembangunan negeri.

“Semangat Tahun Kuda Api ini perlu kita terjemahkan dalam usaha membina Sabah yang lebih berdaya saing, seimbang dan mampan.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina 2026, Gong Xi Fa Cai kepada seluruh masyarakat Cina di Sabah khususnya dan rakyat Malaysia amnya,” katanya.

–TAMAT