Home » Mikhail lepaskan jawatan Bersatu Beaufort, pilih sokong GRS
Berita GRS Politik

Mikhail lepaskan jawatan Bersatu Beaufort, pilih sokong GRS

Mikhail Sungiau Abdullah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Bersatu Beaufort dan menyatakan sokongan kepada GRS

BEAUFORT: Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Beaufort, Mikhail Sungiau Abdullah, mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Mikhail berkata, keputusan itu dibuat selepas pertimbangan menyeluruh dan tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.

“Keputusan meletak jawatan ini adalah tindakan yang telah saya fikirkan dengan matang dan tidak dipengaruhi oleh sebarang paksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN-17) baru-baru ini jelas menunjukkan kecenderungan rakyat Sabah untuk memberi sokongan kepada parti tempatan sebagai wadah memperjuangkan hak dan kepentingan negeri.

“Landskap politik Sabah kini menuntut sokongan padu terhadap kepimpinan negeri yang berpaksikan aspirasi tempatan demi menjamin kestabilan serta pembangunan jangka panjang.

“Oleh itu, saya beriltizam untuk terus berkhidmat kepada rakyat dengan menyokong perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen untuk menyokong kepimpinan GRS bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.

Dalam kenyataan sama, Mikhail merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Perikatan Nasional serta Bersatu Sabah atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh beliau memegang jawatan berkenaan.

–TAMAT

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment