KOTA KINABALU: Sabah dijangka muncul sebagai antara kontinjen paling kompetitif pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII dan Para SUKMA 2026 yang bakal dianjurkan oleh Selangor hujung tahun ini.
Perkara itu dizahirkan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi, ketika mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Selangor dalam kunjungan hormat ke atas Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (MySpace), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, di sini, Isnin.
Lawatan rasmi berkenaan bertujuan menyampaikan jemputan kepada Sabah untuk menyertai SUKMA XXII dan Para SUKMA 2026, selain membincangkan aspek logistik penganjuran temasya itu. Sabah turut dipilih sebagai destinasi pertama dalam jelajah rasmi SUKMA Selangor bagi tahun ini.
Najwan berkata, pertemuan selama kira-kira sejam itu menyentuh pelbagai perkara penting berkaitan persiapan penganjuran, termasuk venue pertandingan, penginapan serta pengangkutan atlet, yang disifatkannya sebagai elemen kritikal dalam memastikan kelancaran acara sukan berskala besar.
“Perancangan yang rapi, menyeluruh dan sistematik amat penting bagi menjayakan temasya ini. Dalam masa yang sama, kami melihat Sabah sebagai antara kontinjen paling aktif dan kompetitif dalam SUKMA, selain rakyatnya yang terkenal mesra serta berjiwa besar,” katanya.
Sementara itu, Nizam yang diiringi Pembantunya, Datuk Anil Sandhu, merakamkan penghargaan atas kunjungan delegasi Selangor dan menyifatkan pertemuan itu sebagai wadah penting untuk memperkukuh kerjasama antara negeri, khususnya dalam pembangunan sukan dan belia di peringkat kebangsaan.
“Pertemuan ini membuka ruang kerjasama strategik antara Sabah dan Selangor, bukan sahaja dalam aspek penyertaan SUKMA, tetapi juga dalam usaha memperkasa pembangunan belia dan sukan secara lebih menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, Anil menegaskan bahawa selain memupuk kecemerlangan sukan, SUKMA juga mempunyai potensi besar sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi menerusi sektor pelancongan dan industri sokongan berkaitan.
“Penganjuran temasya sukan seperti SUKMA memberi limpahan ekonomi kepada negeri tuan rumah serta menggalakkan mobiliti pelancong domestik, sekali gus merancakkan sektor perkhidmatan dan perniagaan tempatan,” katanya.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap MySpace Adanan @ Adnan Atin, Pengarah Majlis Sukan Sabah Asneh Mohd Noor dan timbalannya Valerie Wong, serta Timbalan Pengerusi Lembaga Sukan Sabah Firdaus Kassim.
–TAMAT

























Add Comment