Home » Misi IDS hantar bantuan banjir di Beaufort
Berita Gagasan Rakyat Politik

Misi IDS hantar bantuan banjir di Beaufort

SERAH: Azizah menyerahkan bekalan makanan kepada wakil petugas barisan hadapan di PPS menerusi program CSR bersama IDS, Kembara Kitchen, CIMB Foundation dan Perwira.

BEAUFORT: Daerah Beaufort merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas akibat limpahan mendadak Sungai Padas sejak Jumaat lalu, berikutan hujan berterusan.


Oleh itu, Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), dengan mengadakan misi bantuan kemanusiaan bagi membantu mangsa yang terkesan.


Misi Pasukan D-Hub IDS itu diketuai Pengerusi IDS, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun bersama Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, yang turun padang bagi meninjau keadaan serta menyantuni mangsa banjir di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir dan Dewan Kebudayaan Bisaya Beaufort yang menempatkan kira-kira 625 mangsa banjir.


Penyerahan bantuan makanan sedia dimakan (RTE) atau dikenali sebagai Hero-Meals ini disampaikan Azizah kepada mangsa banjir.


“Bantuan ini bukan sekadar memenuhi keperluan asas, tetapi juga mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan IDS terhadap kesejahteraan masyarakat yang terjejas.


“Dengan pengalaman beliau sebagai mantan Ahli Parlimen Beaufort, beliau terus berusaha dalam memastikan kebajikan penduduk setempat sentiasa terpelihara,” katanya.


IDS berharap bantuan yang disampaikan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa banjir dan keluarga mereka.
Dalam pada itu, Ramzah berkata, berdasarkan ramalan model cuaca global yang digunakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), musim tengkujuh dijangka berakhir pada penghujung Mac atau awal April.

 
Difahamkan Sabah merupakan antara negeri yang masih mengalami episod hujan lebat akibat Monsun Timur Laut (MTL), yang berpotensi menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.


“Gelombang keempat tengkujuh yang berlaku kini berpunca daripada monsun, bukan fenomena La Niña. Walaupun La Niña dijangka bermula pada hujung 2025 hingga pertengahan 2026, kesannya belum lagi mempengaruhi cuaca semasa di Sabah,” katanya.


Menyedari kepentingan kesiapsiagaan menghadapi bencana, IDS telah mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh tindak balas kecemasan.

 
“Sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang ini, IDS melalui inisiatif D-Hub bekerjasama dengan 20 NGO dari seluruh Sabah, termasuk Kembara Kitchen, CIMB Foundation dan Perwira, pasukan CSR IDS sentiasa dalam keadaan siap menghadapi sebarang kemungkinan dengan memantau situasi bencana secara sistematik serta menyalurkan bantuan dalam tempoh 24 jam bagi memastikan komuniti terjejas menerima sokongan yang sewajarnya.

 
“Usaha ini bukan sahaja membantu dalam penyelarasan bantuan kecemasan, tetapi juga berperanan dalam memperkukuh daya tahan masyarakat terhadap bencana alam pada masa hadapan,” katanya.


Tambah Azizah, IDS komited untuk terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menjamin kesejahteraan mangsa bencana dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

— TAMAT

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment