Home » MRSM Ranau Tingkatkan Peluang Pendidikan Berkualiti di Sabah
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

MRSM Ranau Tingkatkan Peluang Pendidikan Berkualiti di Sabah

Masidi (duduk, dua kanan), Tengku Muhammad Taufik (duduk, dua kiri), Asyraf (duduk, kiri) dan Safar (duduk, kanan) bersama pelajar, guru serta tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: PETRONAS pada Isnin lalu menyerahkan kampus Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Penyerahan itu menandakan detik bersejarah dalam pembangunan kampus itu yang bakal meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti di kalangan pelajar negeri ini.
    
Upacara simbolik penyerahan itu berlangsung di sini disaksikan oleh Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
    
Hadir sama menyaksikan penyerahan itu ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz serta Pengerusi MARA Datuk Wira Asyraf Wajdi Dusuki.

Pada majlis itu, Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi PETRONAS, Datuk Bacho Pilong menyerahkan replika kunci kepada wakil kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, yang seterusnya menyerahkan replika itu kepada Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, Razlan Samsuri bagi urusan pengoperasian fasiliti berkenaan.

Turut hadir Menteri-menteri kabinet negeri, Ketua-ketua Jabatan dan agensi kerajaan serta pengurusan tertinggi PETRONAS.
    
Kampus MRSM Ranau, yang dibangunkan oleh PETRONAS bersama kerajaan Negeri Sabah dan MARA, dimana tapak pembinaan disediakan oleh kerajaan negeri manakala kampus ini dirangka mengikut keperluan kemudahan yang ditentukan oleh MARA.
    
Ia juga merupakan MRSM yang kelima di Sabah dan bakal beroperasi mulai Mac 2024 dengan pengambilan sebanyak 180 pelajar dari Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 untuk kohort yang pertama.
    
Pada majlis itu, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, projek MRSM Ranau melambangkan komitmen berterusan PETRONAS demi memperkasa pembangunan modal insan yang berkemahiran khususnya melalui pendidikan.
    
“Majlis hari ini dengan penyerahan MRSM Ranau membuka satu lagi lembaran baharu dalam kerjasama antara semua pihak ke arah menyokong aspirasi kerajaan negeri demi membangunkan modal insan dalam kalangan belia Sabah, sebagai aset yang menyumbang kepada pertumbuhan serta kemakmuran negeri.
    
“PETRONAS percaya belia Sabah akan terus mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik ke arah melahirkan bakat tempatan yang berkemahiran untuk menyokong matlamat sosial, ekonomi dan kelestarian di Sabah, sejajar dengan aspirasi Agenda Pembangunan Modal Insan Sabah-PETRONAS,” katanya.
    
Sementara itu, Datuk Wira Asyraf Wajdi berkata, hasil kerjasama antara MARA, PETRONAS dan kerajaan negeri Sabah dalam membangunkan MRSM ini bakal mewujudkan dimensi baharu pendidikan luar bandar yang akan memberi limpahan manfaat kepada penduduk Sabah, khususnya di sekitar daerah Ranau.
    
“Semoga usaha membangunkan institusi pendidikan menengah yang terbaharu di negeri ini akan mengukuh serta memantapkan lagi sistem pendidikan masyarakat luar bandar.
    
“Sekali gus menjadi penyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi di Sabah,” katanya.

Dengan keluasan lantai melebihi 26,000 meter persegi, kampus MRSM Ranau mempunyai kapasiti untuk menampung 450 pelajar.
    
Ia dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk bangunan pentadbiran, blok akademik, pusat sumber, asrama pelajar, pusat pelajar, dewan makan, dewan serbaguna, pavilion, surau, kediaman kakitangan, kediaman guru, bangunan sampingan dan pelbagai kemudahan sukan. Segala kemudahan ini telah dirancang dengan teliti demi memenuhi keperluan pelajar, guru dan pengurusan kampus.
    
Datuk Seri Panglima Masidi ketika membacakan teks ucapan Hajiji berkata, inisiatif ini amat positif kerana ianya sejajar dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dalam melahirkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing.
    
Ia juga dilihat membantu menyediakan platform bagi merangsang minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
    
“Pembinaan MRSM Ranau dan kemudahan yang disediakan ini diharapkan dapat memberi lebih banyak peluang kepada para pelajar menyemai perasaan suka dan minat untuk mendalami bidang STEM.
    
“Seterusnya mendalami kerjaya ini agar menjadi pakar yang menyumbang kepada industri, negeri dan negara yang tercinta,” katanya.
    
Menurutnya, sumbangan PETRONAS dalam bidang pendidikan wajar diberi pengiktirafan dan penghargaan kerana sentiasa komited dalam menyumbang ke arah pembangunan modal insan di Sabah sehingga kini.

— Yap Siong Han

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment