Home » MUTIARA GRS hargai petugas barisan hadapan melalui Program Pembungkusan Kuih Raya Aidilfitri
Mutiara GRS Politik

MUTIARA GRS hargai petugas barisan hadapan melalui Program Pembungkusan Kuih Raya Aidilfitri

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag mengetuai ahli Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) menjayakan Majlis Pembungkusan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri kepada Anggota Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan Tahun 2026 di Rumah Mutiara GRS, Kota Kinabalu pada Sabtu.

KOTA KINABALU: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) meneruskan tradisi menghargai jasa petugas barisan hadapan dengan menganjurkan Program Pembungkusan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri untuk diagihkan kepada anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di negeri ini.

Program tahunan yang dianjurkan oleh Biro Kebajikan MUTIARA GRS itu diketuai oleh Isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag, yang juga Yang Dipertua MUTIARA GRS, dan diadakan di Rumah MUTIARA GRS dengan penyertaan barisan pemimpin serta ahli pertubuhan berkenaan.

Para peserta bergotong-royong menyediakan bungkusan kuih raya sebagai tanda penghargaan kepada anggota keselamatan dan petugas kesihatan yang terus komited menjalankan tugas demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat, termasuk ketika musim perayaan.

Juliah berkata, bagi program tahun ini MUTIARA GRS menyediakan sebanyak 30 kotak yang mengandungi 300 bungkusan kuih raya, selain 15 bakul tangan sumbangan untuk diagihkan kepada penerima.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag bersama Datin Seri Panglima Linda Ewit dan ahli
Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) menjayakan Majlis Pembungkusan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri kepada Anggota Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan Tahun 2026 di Rumah Mutiara GRS, Kota Kinabalu pada Sabtu.

“Semua bungkusan ini akan diserahkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, pada 10 Mac ini sempena Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri Tahun 2026 kepada Anggota Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan, sebelum diagihkan kepada agensi berkaitan,” katanya.

Menurut beliau, program tersebut bukan sahaja menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli MUTIARA GRS, malah memberi peluang untuk berkongsi kegembiraan Aidilfitri bersama golongan yang sentiasa berkhidmat kepada masyarakat.

“Program ini juga menjadi platform untuk kita menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan dan petugas kesihatan yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua I merangkap Pengerusi Biro Kebajikan MUTIARA GRS, Datin Seri Panglima Linda Ewit, berkata program pembungkusan kuih raya tersebut merupakan antara aktiviti tahunan pertubuhan yang mencerminkan semangat kebajikan serta keprihatinan terhadap golongan yang sentiasa berkhidmat kepada masyarakat.

Beliau berkata, program seumpama itu juga mengukuhkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan ahli MUTIARA GRS, selain menyemarakkan nilai kebersamaan menjelang sambutan Aidilfitri.

–TAMAT