KOTA KINABALU:Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan menafikan sekeras-kerasnya penyebaran tangkap layar WhatsApp yang tular kononnya melibatkan dirinya bersama beberapa individu lain.
Beliau menyifatkan fitnah berkenaan sebagai jelik dan berniat jahat untuk merosakkan nama baiknya serta mencemar imej parti.
“Saya sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu petang ini. Fitnah ini jelas berunsur politik kotor kerana individu yang sama sebelum ini turut menularkan isu serupa terhadap ADUN Kunak, Datuk Norazlinah Arif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, beliau juga telah mengarahkan peguam untuk mengeluarkan Notis Tuntutan (Letter of Demand, LOD) terhadap individu yang dikenali sebagai Tandiko Bin Dalusin atau lebih dikenali dengan akaun Facebook “Huzaifah Al-Likasi,” yang disyaki dalang utama penyebaran fitnah tersebut.
Dalam pada itu, Nizam turut memetik kenyataan Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, yang dalam satu siaran langsung tengah hari semalam mengakui bahawa tangkap layar WhatsApp yang tular itu adalah palsu.
Azis dilaporkan berkata:
“Even yang si Atan kasi tunjuk ni pun, ini pun saya tahu ini tidak betul juga.”
“Pengakuan ini sendiri membuktikan fitnah berkenaan hanyalah rekaan dan tidak ada kaitan langsung dengan saya,” jelas Nizam.
Sehubungan itu, beliau menegaskan politik seharusnya berlandaskan hujah, fakta dan idea, bukannya fitnah serta manipulasi.
“Penyebaran fitnah sebegini bukan sahaja mencemar nama baik saya dan parti, malah boleh menimbulkan keresahan awam, khususnya apabila ia dikaitkan dengan isu sensitif seperti Justice for Zara,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah menghantar sebarang mesej seperti yang ditularkan, sebaliknya ia adalah rekaan berniat jahat untuk menjatuhkan dirinya.
“Kebenaran tetap akan mengatasi kebatilan,” katanya.
Mengulas mengenai himpunan Justice for Zara Qairina yang berlangsung di Tawau pada 31 Ogos lalu, Nizam berkata beliau menghormati hak masyarakat untuk menyuarakan keprihatinan dan menuntut keadilan.
Namun, beliau mengingatkan agar himpunan tersebut tidak dicemari ucapan atau tindakan berbaur hasutan yang melampaui batas undang-undang.
“Pihak polis telah bertindak berhubung insiden ucapan berunsur hasutan semasa perhimpunan itu, dan kita menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan. Apa yang lebih penting ialah fokus masyarakat tidak teralih daripada matlamat sebenar ,mencari kebenaran, menuntut keadilan, dan memastikan keselamatan pelajar pada masa depan,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment