Home » Nizam seru belia Sabah berfikir matang, tolak politik emosi
Berita GRS Politik

Nizam seru belia Sabah berfikir matang, tolak politik emosi

ALBUM: Nizam bergambar bersama penganjur dan peserta pertandingan berkenaan.

TAWAU: Generasi muda diingatkan agar sentiasa berfikir secara matang dan rasional dalam membuat keputusan, tanpa dipengaruhi emosi, ego atau kepentingan kelompok tertentu.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menegaskan pemikiran yang waras amat penting bagi memastikan hala tuju pembangunan negeri tidak diganggu oleh tindakan pihak yang cuba meraih keuntungan politik.

“Kita harus menjadi orang muda yang bijak. Jangan membuat keputusan berasaskan emosi, sebaliknya gunakan fikiran matang yang mengutamakan kepentingan majoriti. Jika hanya mementingkan diri atau kelompok kecil, akhirnya pembangunan yang sedang dibawa kerajaan hari ini akan terjejas,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Bola Jaring Tertutup Piala YB Datuk Nizam, di sini, hari ini.

Menurut Nizam, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mempunyai hala tuju jelas melalui pelaksanaan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 yang memberi tumpuan kepada pengukuhan dan pemerkasaan modal insan termasuk golongan muda.
“Banyak inisiatif telah diperkenalkan dalam bidang pendidikan, latihan dan keusahawanan. Inilah yang perlu kita sokong, bukan terpedaya dengan sentimen politik tidak sihat,” jelasnya.

Dalam program sama, Nizam memuji sambutan menggalakkan daripada wanita muda terhadap pertandingan bola jaring julung kali itu.
Kerjasama antara Ahli Dewan Belia DUN Apas, Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Apas dan Falcons Netball Club menjadi platform mendekatkan wanita muda dengan kepimpinan setempat selain menggalakkan gaya hidup sihat.

“Kesihatan adalah keutamaan sepanjang hayat. Program seperti ini memberi semangat kepada wanita muda untuk menjaga kesihatan, mengamalkan gaya hidup sihat dan menjauhi aktiviti yang merosakkan masa depan,” ujarnya.

Nizam turut menyatakan hasrat untuk menjadikan pertandingan itu sebagai acara tahunan serta memperluas penyertaan kepada lebih ramai belia di kawasan berkenaan.
“Insya-Allah, kita akan memperbesar penyertaan pada masa depan supaya lebih ramai belia dapat berhimpun, merapatkan silaturahim dan mencungkil bakat baharu sehingga ke peringkat lebih tinggi. Tidak mustahil bakat dari Apas mampu mewakili Tawau, Sabah, malah Malaysia suatu hari nanti,” katanya.

— TAMAT

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment