KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif, mengecam tindakan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, yang mendakwa pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, “dibunuh” walaupun proses inkues kematian remaja itu masih berlangsung di mahkamah.
Norazlinah dalam kenyataan menegaskan, kenyataan Shafie bukan sahaja tidak sensitif, malah dianggap sebagai satu bentuk penghinaan terhadap proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Kes Zara kini masih dalam proses mahkamah. Mengeluarkan kenyataan sebegitu bukan sahaja tidak sensitif, malah menghina proses undang-undang,” katanya.
Beliau turut menggesa Shafie supaya menghormati keluarga mangsa serta memberi ruang kepada mahkamah untuk membuat keputusan berdasarkan fakta.
Sebelum itu, tular klip video daripada sebuah majlis makan malam yang memaparkan Shafie mempersoalkan kelewatan inkues berkenaan dan mendakwa, “(Zara) sudah mati, bukan (kerana) dibuli. Ia (kes) bunuh. Sudah berapa kali Bukit Aman tanya (saksi)? Sudah berapa kali ditanya, orang yang sama.”
Norazlinah turut menyifatkan ucapan-ucapan Shafie kebelakangan ini sebagai tanda beliau “penat dan hilang arah”, selain tidak lagi berlandaskan fakta.
“Saya melihat ucapan-ucapan beliau menunjukkan satu perkara ,dia penat, mula hilang arah, dan tidak lagi berucap dengan fakta. Rakyat hari ini bijak. Mereka tidak mahu lagi mendengar ucapan kosong, berbau kebencian dan hanya tahu menyalak tanpa menyumbang,” tegasnya.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu, sehari selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya di Papar. Susulan siasatan, Jabatan Peguam Negara pada 13 Ogos mengarahkan inkues dijalankan setelah meneliti laporan penuh daripada pihak polis.
— TAMAT

























Add Comment