SANDAKAN: Kemajuan teknologi pada masa kini yang terlalu pantas dilihat turut memberi impak negatif terhadap kehidupan manusia terutamanya penggunaan telefon pintar dan internet tanpa batas.
Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sukau, Dayang Norhayati Datuk OKK Titing berkata, golongan wanita atau ibu diminta supaya dapat memantau penggunaan telefon pintar anak-anak mereka.
“Teknologi internet ketika ini dan aplikasi permainan yang mudah di muat naik melalui telefon pintar jika tidak dikawal boleh merosakkan minda anak-anak muda.
“Berapa ramai kanak-kanak dan remaja ketika ini menghabiskan masa berjam-jam menghadap telefon pintar sehingga waktu beribadah dan bersama keluarga diabaikan begitu sahaja,” katanya.
Katanya, pelbagai kesan buruk boleh berlaku melalui pengunaan media sosial yang tidak dikawal, sebagai contoh percintaan dalam talian, akibatnya boleh mengundang masalah lain di kemudian hari.
Selain itu katanya, pelbagai dakyah dan fitnah juga tersebar luas dalam ruang media sosial yang tidak dapat dikawal secara fizikal.
“Justeru, saya menyeru supaya kita semua perlu kembali pada ajaran agama yang sebenar iaitu taat perintah Allah SWT dengan mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.
“Golongan muda perlu diberi pendidikan agama yang secukupnya supaya mereka boleh menjadikan agama sebagai panduan hidup, sekali gus berjaya di dunia dan akhirat,” katanya.
Norhayati berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Tahunan Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Sukau 2024 di Sandakan pada Ahad. Turut hadir, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sukau, Datuk Juhari Janan.
Dalam pada itu, Norhayati menyeru semua ahli wanita Gagasan Rakyat agar bersatu-padu dan memberikan komitmen dengan mendekati rakyat di peringkat akar umbi.
“Saya mahukan wanita Gagasan Rakyat mendengar suara akar umbi seterusnya mengangkat isu atau masalah mereka kepada pemimpin untuk dibantu dan diselesaikan segera,” katanya.
–Hamzah Sanudin
Add Comment