KOTA KINABALU: Umat Islam di negeri ini diingatkan agar tidak terus terperangkap dalam zon selesa dan beranggapan nasib serta masa depan kaum bumiputera tetap terjamin dan terbela.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, umat Islam wajar keluar dari kepompong zon selesa dengan menerapkan budaya berfikir berasaskan fakta dan ilmu, berfikir di luar kotak untuk memajukan diri, bangsa serta negara.
Menurutnya, sambutan Maulidur Rasul yang diadakan bukan sekadar untuk memperingati dan meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW semata-mata, sebaliknya salah satu wadah untuk mengikis mentaliti cepat puas hati dan membebaskan diri daripada perangkap zon selesa (complacency) terutama sekali dalam kalangan anak-anak muda dan belia muslim dewasa ini.
Katanya, selaras dengan sifat serta sikap Nabi Muhammad SAW yang meskipun
maksum, dikasihi Allah dan dijamin masuk syurga, namun tetap tekun dan istiqamah melaksanakan amal ibadat dengan sempurna.
“Budi pekerti Rasulullah ini memberi pengajaran bahawa umat Islam mestilah mengikis sikap mudah selesa, mudah berpuas hati dengan pencapaian yang ada, sebaliknya perlu sentiasa bekerja dan berusaha ke arah mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.
“Pengajaran ini seharusnya digarap secara positif oleh generasi muda Islam hari ini jika tidak ingin ketinggalan dalam mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupan,” katanya pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1446H/2024H di sini, pada Isnin.
Hajiji berkata, penguasaan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk yang berkaitan dengan teknologi baharu seperti industri digital, Internet of Things, kecerdasan buatan (AI), penggunaan robotik dan sebagainya akan meletakkan masyarakat ummah setaraf dengan bangsa-bangsa lain yang lebih maju di dunia.
Menurutnya, pendekatan kerajaan mengajak rakyat mengenang kejayaan Rasulullah SAW membina ummah yang berjaya adalah selaras dengan hasrat murni untuk membangunkan sektor sumber manusia dan modal insan.
Katanya, modal insan yang berkualiti adalah pra syarat terpenting dalam mencapai wawasan negeri dan negara, kerana tanpa nilai atau kualiti yang tinggi, negara akan menjadi lemah dan tidak mampu untuk bersiang dalam apa jua bidang dan arena di peringkat antarabangsa.
“Justeru hasrat murni kerajaan ini, bukan sahaja harus disambut baik oleh seluruh rakyat, bahkan harus disokong dan didukung oleh masyarakat ummah, demi kemajuan yang berterusan dan kesejahteraan yang berkekalan,” katanya.
Beliau berkata, dibawah dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan menyediakan pelbagai insentif berupa bantuan pendidikan kepada pelajar-pelajar cemerlang di negeri ini, termasuk golongan yang kurang berkemampuan, bagi membantu meringankan bebanan mereka melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Katanya, kerajaan juga memperkenalkan beberapa anugerah sempena sambutan Maulidur Rasul SAW sebagai imbuhan dan pengiktirafan sumbangan dan peranan mereka yang melaksanakan tugas serta perkhidmatan fardu kifayah, membantu mempermudah urusan maslahah rakyat dan sebagainya.
“Insentif ini sebagai motivasi kepada masyarakat Islam untuk terus mencontohi dan meneladani Rasululllah SAW dalam urusan beramal kebajikan yang secara tidak langsung mengagungkan kerasulan baginda serta membela agama Allah SWT dengan penuh istiqamah dan keikhlasan,” katanya.
Terdahulu, Hajiji dan isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag bersama Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Norlidah R.M. Jasni diiringi dif-dif kenamaan bersama lebih 7,000 umat Islam berarak ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
— TAMAT
Add Comment