Home » Parti perlukan ahli komited, ikhlas berjuang – Redonah
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Parti perlukan ahli komited, ikhlas berjuang – Redonah

ALBUM: Redonah merakamkan gambar kenangan bersama Wanita Gagasan Rakyat bahagian Tempasuk.

KOTA BELUD: Ahli parti yang komited dan ikhlas berkhidmat amat penting dalam perjuangan membela nasib rakyat serta mengukuhkan kekuatan jentera parti.

Ketua Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda berkata, ahli parti yang komited mampu menggerak parti di peringkat akar umbi dengan lebih berkesan.


Jelasnya, parti merupakan platform untuk berkhidmat dengan penuh ikhlas dan jujur kepada rakyat di semua lapisan tanpa mengira kaum dan kepercayaan.


Justeru katanya, ahli parti yang mempunyai ciri-ciri itu sangat diperlukan dalam perjuangan khususnya Gagasan Rakyat yang baru dijenamakan atas aspirasi dan kehendak rakyat yang inginkan parti tempatan sebagai wadah perjuangan.


Redonah yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri dalam ucapan turut menggesa Wanita Gagasan Rakyat di bahagian-bahagian supaya ‘turun padang’ melaksanakan pelbagai aktiviti bersesuaian untuk mendekati rakyat di akar umbi.

“Dekatilah rakyat dan fahami serta perhatikan denyutan hati mereka sebelum Pilihan Raya Negeri  (PRN) yang akan diadakan dalam tempoh lebih kurang dua tahun lagi,” katanya dalam satu majlis perjumpaan dengan jawatankuasa Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Tempasuk di Kota Belud di sini kelmarin.


Tambah beliau, program ‘mirumo-rumo’ (ziarah) atau apa juga sebutan program yang menjurus kepada pertemuan dengan masyarakat akar umbi perlu kerap diadakan oleh Pergerakan Wanita.


Ini kerana katanya, program-program seumpama itu merupakan platform yang berkesan untuk menemui rakyat dan golongan sasar.


“Kalau di bahagian Beaufort ada program ‘Ringkat Kasih’ salah satu program yang membantu keluarga yang kurang mampu. Program ini boleh dicontohi oleh bahagian-bahagian yang lain” jelasnya.


Pada masa sama Redonah juga mahu supaya pemimpin Pergerakan Wanita di bahagian, pandai bercakap dan pandai bekerja.


“Kita tidak mahu ada pemimpin yang pandai bercakap tetapi tidak pandai bekerja. Kita mahu yang seimbang,” katanya.


Hadir sama Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Tempasuk, Nurul Fadzilah Noordin; Naib Ketua Wanita Najwa Shahida Yazid serta ahli-ahli jawatankuasa Wanita Gagasan Rakyat Tempasuk.

— Liza Din