Home » PBS kekal bersama GRS hadapi PRN17
Berita GRS Politik

PBS kekal bersama GRS hadapi PRN17

MESYUARAT: Mesyuarat Majlis Tertinggi (AMT) PBS yang diadakan di Ibu Pejabat PBS di sini.

PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) akan datang sekali gus mengukuhkan komitmen parti itu terhadap kerjasama politik sedia ada.

Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (AMT) PBS yang diadakan di Ibu Pejabat PBS di sini, semalam.

“Pendirian kami jelas. PBS akan terus berkerjasama dalam gabungan GRS, kami komited dengan kerjasama politik ini menjelang PRN17,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Menurutnya, PBS turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama bersama Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah), rakan komponen GRS yang diketuai Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

“Kami percaya bahawa perpaduan dalam kalangan parti berteraskan tempatan amat penting bagi menjamin kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan di Sabah. 

“Hubungan kita dengan StarSabah akan terus diperkukuhkan,” katanya.

Joachim turut memaklumkan bahawa majoriti ahli AMT tidak bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan Umno atau Barisan Nasional (BN).

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Penasihat Utama PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang memberikan pandangan strategik terhadap hala tuju masa depan parti.

“Tan Sri Pairin juga berkongsi pandangan bernas semasa mesyuarat Biro Politik. 

“Panduan beliau mengenai hala tuju PBS kekal penting buat kepimpinan parti,” katanya.

Selain itu, AMT turut membincangkan tahap kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya serta usaha berterusan di peringkat akar umbi untuk mengukuhkan sokongan terhadap PBS menjelang PRN.

“Kita menegaskan komitmen PBS dalam memperjuangkan kepentingan rakyat tempatan, hak-hak pribumi, serta memastikan suara Sabah terus didengari di peringkat nasional melalui pendekatan politik yang konstruktif.

“Semua ahli parti juga digesa agar kekal bersatu dan terus komited terhadap perjuangan parti serta bersiap sedia sepenuhnya menghadapi pertarungan pilihan raya akan datang dengan keyakinan dan semangat jitu,” katanya. – Utusan Borneo