KOTA KINABALU: Rakyat Sabah tidak mempunyai sebab untuk menolak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, memandangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah membuktikan keupayaan mentadbir negeri secara cekap, stabil dan berteraskan kepentingan rakyat.
Ketua Bahagian Parti Cinta Sabah (PCS) Bingkor, Johari Tahir, berkata pentadbiran GRS sejak tahun 2020 berjaya membawa Sabah ke arah kestabilan politik dan pembangunan menyeluruh yang memberi manfaat langsung kepada rakyat di semua peringkat.
“Kita perlu menilai secara jujur. Tiada sebab untuk menolak GRS kerana inilah kerajaan yang benar-benar membela kepentingan rakyat Sabah, melaksanakan reformasi kewangan dan memastikan pembangunan sampai ke kampung,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Johari berkata, kerajaan GRS berjaya meningkatkan hasil negeri kepada lebih RM6 bilion pada tahun 2024, selain memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu belia, pelajar dan golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata, pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) turut membawa impak besar, terutama melalui pembinaan jalan luar bandar, bekalan air dan elektrik, serta peningkatan kemudahan kesihatan dan pendidikan.
“Perubahan itu jelas kelihatan di kampung , jalan lebih baik, peluang ekonomi semakin banyak dan anak muda kini mampu bekerja di negeri sendiri,” ujarnya.
Johari menambah, GRS juga berjaya menyatukan pelbagai parti tempatan di bawah satu gabungan besar, menjadikannya simbol perpaduan rakyat Sabah.
“GRS ialah wadah penyatuan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang politik. Kita tidak boleh kembali berpecah . Hanya perpaduan akan menjadikan Sabah kuat dan berdaya maju,” katanya.
Menurutnya, PCS Bingkor akan terus memperkukuh gerak kerja akar umbi bagi menjelaskan pencapaian dan kejayaan GRS kepada rakyat, khususnya dalam memastikan kesinambungan pembangunan di bawah Pelan SMJ 2030.
“Sabah kini berada di landasan yang betul di bawah GRS. Inilah masa untuk kita mara ke hadapan bersama, bukan berpatah balik ke era ketidaktentuan,” tegasnya.
— TAMAT

























Add Comment