Home » “Saya tidak pernah tarik balik sokongan terhadap GRS” – Robert Tawik
Berita GRS Politik

“Saya tidak pernah tarik balik sokongan terhadap GRS” – Robert Tawik

Bekas Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Robert Tawik

KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Robert Tawik, menafikan sekeras-kerasnya kenyataan palsu yang disebarkan kononnya beliau menarik balik sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menolak kenyataan terdahulunya yang menyeru ahli serta penyokong STAR terus menyokong gabungan itu.

Dalam satu kenyataan media semalam, Robert menegaskan bahawa kenyataan yang tular itu adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh beliau, sebaliknya disifatkan sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang berniat jahat untuk mengelirukan ahli-ahli STAR, penyokong GRS serta rakyat Sabah secara umum.

“Saya menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh saya. Ia jelas merupakan tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu yang berniat jahat untuk mengelirukan ahli-ahli STAR, penyokong GRS, dan rakyat Sabah secara umum,” katanya.

Robert turut menegaskan bahawa pendiriannya tidak berubah daripada kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada 30 Oktober 2025, di mana beliau menyatakan sokongan penuh terhadap GRS dan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau turut menyeru semua ahli dan penyokong STAR agar terus memberi sokongan kepada GRS demi mengekalkan kestabilan politik serta memastikan kesinambungan pembangunan negeri.

“Sebagai mantan Timbalan Presiden STAR Sabah, saya menyeru semua ahli dan penyokong parti itu agar terus memberikan sokongan padu kepada GRS di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, demi mengekalkan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan, dan kemajuan negeri Sabah,” katanya.

Dalam masa yang sama, Robert berkata beliau menghormati keputusan STAR untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri akan datang, namun menegaskan bahawa keutamaan kini ialah memastikan kestabilan politik negeri dikekalkan serta pembangunan yang dirintis oleh kerajaan GRS sejak 2020 dapat diteruskan.

Beliau turut mengingatkan pihak media dan masyarakat agar berhati-hati terhadap penyebaran maklumat tidak sahih, serta hanya merujuk kepada saluran komunikasi rasmi bagi mengesahkan sebarang kenyataan daripadanya.

“Sebarang kenyataan rasmi daripada saya hanya akan disalurkan melalui saluran komunikasi rasmi yang disahkan,” katanya.

— TAMAT