Home » Pelaburan baharu jana pertumbuhan ekonomi Sabah
Berita GRS Politik

Pelaburan baharu jana pertumbuhan ekonomi Sabah

SAKSI: Hajiji (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian sub-sewa antara SBH Kibing dan Fokasrama Sdn Bhd antara Victor (kiri) dan William (kanan).

KOTA KINABALU: Pelaburan baharu syarikat SBH Kibing Solar New Energy (M) Sdn Bhd dengan dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah menjana pertumbuhan ekonomi yang berterusan kepada Sabah. 

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor semalam menyaksikan pertukaran dokumen antara SBH Kibing Solar New Energy (M) Sdn Bhd dan dua GLC Sabah bagi kilang pembuatan kaca solar bernilai RM7.2 bilion yang baharu di Kimanis.

Hajiji berkata, pelaburan baharu itu amat signifikan dalam menjana pertumbuhan ekonomi untuk Sabah dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk komuniti tempatan.

Pertukaran pertama adalah perjanjian sub-sewa antara SBH Kibing dan Fokasrama Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh Kumpulan Sawit Kinabalu.

Menurutnya, perjanjian sub-sewa berkenaan akan membuka jalan bagi pembangunan kilang pembuatan kaca solar yang canggihdan bakal menjadi salah satu kemudahan terbesar seumpamanya di rantau ini.

Katanya, pembangunan itu adalah sebahagian daripada rancangan SBH Kibing untuk memperluas infrastruktur tenaga boleh diperbaharui di Sabah.

Beliau berkata, ia juga bagi meningkatkan kedudukan pasaran tenaga solar globalnya, dan melengkapkan kilang sedia ada di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) milik syarikat yang berpangkalan di China itu.
 
“Kilang kaca solar baharu ini juga menonjolkan komitmen Kibing terhadap pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui di seluruh Sabah serta mewujudkan tapak pembuatan utama di negeri ini,” katanya.

Pada majlis itu, Fokasrama Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg, manakala SBH Kibing Solar New Energy (M) Sdn Bhd diwakili oleh pengerusinya William Chen.

Pertukaran kedua dokumen ialah bagi perjanjian dasar (Heads of Agreement) antara SBH Kibing Solar New Energy (M) Sdn Bhd dan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) untuk membekalkan 45 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) bagi menyokong operasi kilang baharu itu.

Sebagai pembekal utama gas asli di Sabah, SEC terus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi serantau melalui penyelesaian tenaga yang lebih bersih dan boleh dipercayai.

SEC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif SEC Datuk Adzmir Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Urusan SBH Kibing Solar New Energy Celine Li mewakili syarikat itu.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Phoong Jin Zhe; Pengerusi SEC Datuk Annuar Ayub; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong dan pegawai kanan yang mewakili pihak yang menandatangani perjanjian.

Dalam pada itu, Hajiji turut mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera.

— TAMAT