KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah mewujudkan pelbagai rancangan dan tindakan seterusnya melaksanakan inisiatif berkenaan khususnya melalui perancangan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, usaha itu adalah untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik kepada para pelabur.
Ketika berucap di Sabah Investors Forum pada Isnin,Hajiji berkata kerajaan negeri komited untuk menangani pelbagai cabaran termasuk kemudahan asas serta infrastruktur dalam usaha bagi meningkatkan pembangunan ekonomi, setaraf dengan peruntukan berjumlah RM2.63 bilion yang diperuntukan pada pembangunan infrastruktur seperti diumumkan dalam Belajawan Sabah tahun ini.
Menurutnya, forum yang diadakan Sabah Development Bank Berhad (SDBank) dengan sokongan RHB Investment Bank adalah tepat pada masanya.
“Ini kerana ia akan menyediakan platform kepada pelabur untuk terlibat sama dengan kerajaan khususnya berkaitan dengan pembangunan kini dan akan datang yang akan memperkasakan kemajuan Sabah, selain mengetahui bagaimana kerajaan negeri akan memudahkan serta menyokong semua pembangunan itu,” katanya.
Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Hajiji berkata, RM679.85 juta telah diperuntukkan untuk mengurus dan mengatasi masalah utama seperti bekalan air bersih, sementara RM430.84 juta disalurkan untuk penyelenggaraan infrastruktur.
Katanya, kerajaan negeri juga sedang berusaha memperkasakan rangkaian jalan raya dan komited untuk menyempurnakan projek Lebuh Raya Pan Borneo, selain menambah laluan lain dalam projek berkenaan yang kini dalam fasa pembinaan.
Menurutnya, Sabah juga telah melancarkan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040.
“Untuk meningkatkan kapasiti hydro, kerajaan negeri telah melancarkan projek Hydroelektrik Ulu Padas tahun lalu, yang mana ia mampu mengeluarkan 187.5MW dan membekalkan sejumlah 6,000 juta liter air sehari.
“Kapasiti loji rawatan air sedia ada juga telah ditingkatkan,” katanya.
Selain itu katanya, kerajaan negeri juga telah mengambil alih kuasa kawal selia ke atas bekalan elektrik daripada kerajaan Persekutuan dengan menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), sebagai pihak berkuasa untuk kawal selia bekalan gas dan tenaga bagi mengatasi masalah yang dihadapi.
Hajiji berkata, kerajaan negeri juga telah memberikan kebenaran kepada Sabah Port Sdn Bhd untuk meterai perjanjian dengan syarikat logistik multinasional untuk bersama-sama mengurus perlabuhan Sepanggar, sekali gus menarik pelaburan dalam logistik serta rantaian bekalan infrastruktur di Sabah.
Katanya, usaha berterusan juga telah diambil untuk memastikan pendapatan negeri ditingkatkan yang mana sebahagian besarnya bergantung kepada minyak mentah serta komoditi seperti minyak sawit mentah.
Antara langkah diambil katanya, adalah dengan menubuhkan SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) yang mana pada tahun lalu telah menerbitkan Nota Jangka Pertengahan Islamik bernilai RM900 juta, daripada program Sukuk Wakalah yang mampu menjana sehingga RM10 bilion nilainya.
“Aliran tunai ini akan membolehkan kerajaan negeri untuk mempelbagaikan sumber pembiayaan, tingkatkan struktur kapital dan menyokong strategi pembangunan negeri.
“Oleh itu, SMJE akan terus memperoleh aset minyak dan gas yang menguntungkan serta produktif,” katanya.
Sementara itu katanya, SDBank ini dalam proses tranformasi untuk selari dengan hala tuju kini kerajaan negeri.
Katanya, pentadbiran bank berkenaan juga telah diperkasakan dan projek yang sedang dilaksanakan akan memberikan manfaat besar kepada Sabah.
— TAMAT
Add Comment