Home » Pembangkang sengaja butakan mata, enggan akui usaha kerajaan: Redonah
Berita Gagasan Rakyat Politik

Pembangkang sengaja butakan mata, enggan akui usaha kerajaan: Redonah

Redonah yang juga merupakan Ketua Wanita Gagasan Rakyat pihak yang suka mengkritik, khususnya pembangkang hanya tahu menghentam kerajaan dengan tuduhan tidak berasas bagi menarik perhatian rakyat, lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah semakin dekat.

KOTA KINABALU: Pembangkang sengaja membutakan mata dan menutup telinga bagi menidakkan usaha kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda, berkata mustahil kerajaan negeri hanya mendiamkan diri apabila melihat rakyat berdepan masalah, terutamanya keperluan asas seperti air bersih, elektrik dan jalan raya.

Katanya, pihak yang suka mengkritik, khususnya pembangkang hanya tahu menghentam kerajaan dengan tuduhan tidak berasas bagi menarik perhatian rakyat, lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah semakin dekat.

“Semua pun tahu PRN sudah semakin dekat dan ada yang meramalkan kemungkinan ia diadakan pada tahun ini, jadi tidak hairanlah jika makin banyak suara pembangkang menuduh kerajaan dengan pelbagai dakwaan tidak berasas, kononnya membiarkan rakyat menderita.

“Tiada kerajaan akan membiarkan rakyat menderita, pasti ada tindakan yang dilakukan. Cuma mungkin tiada publisiti atau hebahan untuk menjelaskan setiap tindakan yang diambil oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Cathress Brea Allan Yuen, 1 tahun 3 bulan peminat tegar Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di KPJ Specialist Hospital pada Sabtu.

Redonah ditemani Aziah (kiri) melawat Cathress berusia 1 tahun 3 bulan di KPJ Specialist Hospital, peminat tegar Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau mengulas tuduhan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, baru-baru ini yang antara lain mendakwa tiada tindakan diambil Ketua Menteri untuk membantu rakyat berikutan masalah air dan kekerapan gangguan bekalan elektrik, selain isu jalan raya.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin

Redonah memberi contoh, bekalan air di sekitar Kota Kinabalu kini semakin baik dengan siapnya kerja menyalurkan air bersih dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 Fasa 2 pada bulan lalu seperti dijelaskan Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya sebelum ini.

“Kita difahamkan sebanyak 30 juta liter sehari (MLD) sudah ditambah dalam sistem paip, selain usaha masih diteruskan untuk menyelesaikan masalah tekanan rendah dan air tidak berhasil (NRW) tetapi ramai yang tidak menyedari perkara ini.

“Menteri juga ada menyebut sebanyak 50 MLD lagi air bersih dari LRA Telibong 2 Fasa 2 akan dinikmati pengguna di Kota Kinabalu dan sekitarnya apabila paip utama dari loji itu siap dipasang menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Jelasnya, ketika Bung Moktar menjadi Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya negeri dari 2020 hingga 2022, isu air di Kota Kinabalu sudah mula meruncing, namun tiada kejayaan yang dapat dilihat bagi mengatasinya selain hanya banyak bercakap.

Redonah berkata, kerajaan juga mengambil ikhtiar membantu rakyat yang berdepan bencana kemarau ketika ini, termasuk melaksanakan operasi pembenihan awan bagi menurunkan hujan, khususnya di Papar, Lahad Datu dan Tawau, baru-baru ini.

Redonah yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri, berkata kerajaan juga tidak berdiam diri dalam isu gangguan bekalan elektrik terutama usaha menambah janaan tenaga, antaranya menerusi projek janakuasa hidro Ulu Padas bernilai RM4 bilion di Tenom yang dijangka beroperasi pada 2029.

Tambahnya, menerusi Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) yang mengambil alih kuasa kawal selia elektrik mulai Januari lalu, pelbagai langkah turut dirancang untuk menambah bekalan tenaga termasuk menerusi galakan penggunaan sumber boleh baharu seperti tenaga solar.

“Mulai Januari lalu, kuasa kawal selia sudah ada di bawah negeri, bermakna kerajaan negeri boleh merancang dengan lebih baik pembekalan elektrik dan ia akan bertambah baik lagi apabila Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) diambil alih kerajaan negeri nanti.

“Cuma, perubahan yang kita mahukan itu bukanlah boleh berlaku sekelip mata, tapi apa yang jelas kerajaan tidak berdiam diri melaksanakan penyelesaian jangka pendek, sederhana atau panjang dan memastikan tiada lagi catuan bekalan elektrik,” katanya.

Dalam isu perhubungan, katanya semua pihak bersetuju pentingnya projek Lebuhraya Pan Borneo disegerakan setelah berlaku kelewatan yang menjejaskan sistem perhubungan jalan raya di sepanjang laluannya.

Katanya, Bung Moktar juga pernah mengakui kebanyakan laluan jalan persekutuan di Sabah sekarang, termasuk di Kinabatangan yang diwakilinya sebagai Ahli Parlimen sejak 1999 sudah tamat jangka hayat menyebabkan kerosakan mudah berlaku walaupun sudah dibaiki.

“Jadi, tidak adil hanya menyalahkan kerajaan mengenai jalan rosak, terutama di laluan dari Kota Kinabalu ke Sandakan dan Kinabatangan sedangkan sebelum ini beliau sendiri mengakui fakta berhubung keadaan jalan raya kita dan gagal menyelesaikannya.

“Sebab itu kerajaan negeri mahu kerajaan pusat menyegerakan pelaksanaan pakej projek Lebuhraya Pan Borneo dan menterinya sudah mengesahkan pakej yang belum bermula akan dilaksanakan tahun ini,” katanya.

Mengiringi Redonah ialah Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Aziah Atoh.

— TAMAT