SANDAKAN: Pemimpin yang dilantik di peringkat daerah digesa supaya meningkatkan usaha untuk menyebarluaskan inisiatif kerajaan dalam membantu kebajikan rakyat di seluruh negeri ini.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata usaha itu perlu bagi memastikan rakyat sama-sama merasai pembangunan di negeri ini.
Katanya, pertama kali dalam sejarah Belanjawan Sabah 2025, telah memperkenalkan pelbagai insentif baharu kepada rakyat pelbagai golongan bagi mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Antara dana yang diperkenalkan termasuklah bantuan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), penjaja kecil dan sokongan pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga universiti.
“Bantuan Rumah Mesra SMJ secara percuma kepada golongan B40 dan bantuan RM5,000 kepada penjaja kecil adalah pertama kali dalam sejarah di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Tahun Baru Cina zon 10 Gagasan Rakyat Karamunting, di sini. turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew.

Mengulas lanjut, katanya, setiap kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) diberi kuota sebanyak 40 buah Rumah Mesra SMJ untuk rakyat yang berkelayakan.
“Pelajar sekolah rendah hingga peringkat universiti akan mendapat bantuan dana antara RM300 hingga RM2,500 seorang.
“Kerajaan negeri juga turut memberi bantuan penerbangan kepada pelajar di Semenanjung Malaysia dan Sarawak sebanyak RM600 secara one off,” katanya.
Masiung berkata, pemimpin daerah khususnya Pemuda, Wanita dan Beliawanis hendaklah menyebarluaskan kepada rakyat supaya mereka mendapat menfaat daripada eshan kerajaan Sabah.
“Ahli Jawatankuasa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di DUN perlu faham mengenai bantuan yang diperkenalkan oleh kerajaan Sabah untuk dihebahkan kepada rakyat pelbagai golongan,” katanya.
–Hamzah Sanudin
Add Comment