BEAUFORT: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Klias mengambil inisiatif dengan menyumbangkan keperluan untuk mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS).
Selain PPS Dewan PBBS, Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Klias turut menyampaikan sumbangan serupa kepada Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon untuk mangsa banjir yang ditempatkan disitu akibat daripada musibah banjir yang berlaku.
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Klias Mohd Shahril Osin berkata, sumbangan yang disampaikan itu bertujuan membantu mangsa-mangsa banjir yang kini ditempatkan di PPS dan PPK daerah itu.
Beliau berharap sedikit sebanyak sumbangan itu dapat menambah sedikit bekalan stok di dua pusat berkenaan yang ketika ini amat diperlukan sementara menunggu tambahan bekalan keperluan daripada agensi kerajaan.
Shahril semasa ditemui turut mempelawa badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk sama-sama menyumbang kepada PPS dan PPK yang dibuka di Beaufort sebagai tanda semangat kebersamaan terhadap mangsa-mangsa banjir kali ini.
Katanya, sekecil manapun sumbangan atau bantuan namun ia memberi seribu satu makna bukan sahaja kepada mangsa banjir tetapi juga para petugas yang ditempatkan sepanjang masa di Pusat Pemindahan Sementara dan Pusat Pemindahan Kekal di situ.
–Kenneddy Corlleus
Add Comment