SEMPORNA: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) DUN Sulabayan yakin mampu mengubah arus politik di kawasan berkenaan.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sulabayan, Datuk Abd Hajan Gurimbang berkata ia sekali gus menamatkan dominasi pembangkang, khususnya Parti Warisan (WARISAN), yang selama ini dianggap sebagai ‘kubu kuat’ mereka.
Katanya, sokongan Pergerakan Pemuda Sulabayan hari ini membuktikan sokongan yang semakin kukuh terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
“Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Sulabayan turut menyatakan pendirian tegas mempertahankan kerajaan GRS.
“Kehadiran mereka amat memberangsangkan dan ia jelas menggambarkan sokongan padu terhadap kepimpinan yang ada sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Tahunan Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat DUN Sulabayan, di sini, semalam.
Mengulas mengenai kesiapsiagaan jentera Pemuda, Abd Hajan menyatakan keyakinan terhadap gerak kerja yang tersusun dan awal telah dilakukan oleh sayap muda parti itu, khususnya dalam mendekati dan mempengaruhi pengundi muda, termasuk Undi18.
“Pergerakan Pemuda telah bekerja lebih awal untuk menghadapi cabaran, terutama daripada pembangkang.
“Mereka giat menyantuni belia dan membawa budaya politik matang melalui sektor pendidikan, kebudayaan dan sukan. Inilah bukti keupayaan mereka untuk menjadi agen perubahan,” katanya
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Sulabayan, Akram Abd Rauf berkata, dengan kira-kira 50 peratus pengundi pada pilihan raya akan datang terdiri daripada anak muda, pemuda memainkan peranan penting dalam mencorakkan kemenangan parti.
“Walaupun Sulabayan selama ini dilabel sebagai kubu WARISAN, kami yakin dengan gerak kerja berterusan, kita mampu meraih kemenangan. Undi anak muda adalah penentu utama kali ini,” katanya.
Menurutnya, strategi pemuda banyak tertumpu kepada pendekatan menyantuni belia di kawasan pulau melalui aktiviti yang dekat dengan minat mereka seperti sukan dan kebudayaan.
“Kita tahu majoriti belia di kawasan ini minat kepada aktiviti sebegitu. Jadi kita gunakan pendekatan itu untuk mendekati mereka, menyampaikan mesej parti dan membuka ruang dialog tentang masa depan mereka.
“Dengan keyakinan tinggi serta penglibatan aktif belia, Gagasan Rakyat melihat DUN Sulabayan bukan lagi sebagai kubu kebal pembangkang, tetapi medan strategik untuk mencipta gelombang baharu politik anak muda di Pantai Timur Sabah,” katanya.
Hamzah Sanudin
Add Comment