Home » Parti lokal perlu jadi teras kerajaan negeri
Berita GRS Politik

Parti lokal perlu jadi teras kerajaan negeri

RASMI: Armizan (tengah) menyempurnakan gimik perasmian persidangan itu, sambil disaksikan Mohamed Razali (tiga kiri).

KOTA KINABALU: Model politik yang dibawa oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukanlah menolak kerjasama dengan parti nasional, namun meletakkan landasan supaya parti lokal perlu menjadi teras kepada kerajaan negeri. 

Timbalan Setiausaha Agung  Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, agenda itu penting untuk memastikan bentuk hubungan persekutuan dan negeri adalah bersifat antara kerajaan (inter-governmental) dan bukannya bersifat intra-parti (intra-party).

“Ini kerana kita mahukan sebarang agenda dan isu yang melibatkan kepentingan negeri dirunding dan diselesaikan melalui forum diantara dua peringkat kerajaan, iaitu kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. 

“Sekiranya parti yang sama iaitu parti nasional menjadi teras kepada kedua-dua peringkat kerajaan, kecenderungan berlaku isu yang melibatkan kepentingan negeri akan dirundingkan dalam ruang lingkup dalaman parti terlebih dahulu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau, pada Ahad di sini.

Hadir sama  Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, Datuk Mohamed Razali Razi.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, apabila agenda dan kepentingan negeri diputuskan secara intra-parti, sudah pastinya risiko yang berlaku adalah kepentingan parti akan diutamakan membelakangi kepentingan negeri. 

Menurutnya, lebih dikhuatiri ada indoktrinasi sesetengah parti politik nasional yang meletakkan kesetiaan kepada parti mengatasi segala-galanya, tanpa kompromi.

“Ada ketikanya isu negeri akan disenyapkan kerana pendirian parti nasional adalah mengutamakan kepentingan nasional. 

“Contohnya, inilah yang telah berlaku dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sejak berpuluh tahun. 

“Kita melihat ada perubahan komitmen signifikan persekutuan berhubung MA63 di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini. 

“Namun, kita tidak boleh bergantung kepada cara dan sikap kepimpinan individu, tetapi perlunya struktur yang kondusif,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, komitmen persekutuan terhadap MA63 ini boleh berubah dengan peralihan pimpinan kerajaan Persekutuan. 

“Namun, sekiranya kita ada struktur yang menjamin bahawa hubungan persekutuan dan negeri akan bersifat inter-governmental, dan bukannya intra-parti, kepentingan negeri akan sentiasa mendapat keutamaan.

“Kita tidak menolak kepentingan nasional perlu dipelihara, tetapi biarlah perjuangan itu diterajui oleh kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu berfungsi dengan meletakkan kepentingan negeri pada unjuran paling teratas. 

Katanya, inilah falsafah disebalik teras pertama perjuangan GRS iaitu Sabah First yang bermaksud agenda negeri diutamakan.

“Perlu diingatkan GRS ingin menjadi teras kepada kerajaan di peringkat negeri dan pilihan raya yang bakal kita hadapi adalah untuk memilih kerajaan negeri. 

“Kita akan sokong parti nasional menjadi teras kepada kerajaan Persekutuan, dan biarlah parti lokal menjadi teras kepada kerajaan Negeri.

“Kita tidak menolak dan mengalu-alukan kerjasama dengan parti nasional dalam pilihan raya negeri, selagi mana mereka menerima bahawa parti lokal perlu diberi ruang menjadi teras kerajaan negeri dengan bertanding lebih banyak kerusi. 

“Kamu (parti nasional) pimpinlah kerajaan Persekutuan dan kita akan sokong dan beri kerjasama, dan biar parti lokal memimpin kerajaan negeri,” katanya.

Katanya, model itulah yang sedia memaknai bentuk kerjasama dalam Kerajaan GRS+PH Plus pada hari ini.

“GRS akan terus bekerjasama dengan parti nasional kerana akhirnya kita juga adalah komponen yang akan bersama membentuk kerajaan Persekutuan dan memilih seorang Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin parti nasional,” katanya. 

–Yap Siong Han