RANAU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) merangkap Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, menyeru agar semangat perpaduan dan kesiapsiagaan terus diperkukuh dalam kalangan jentera muda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Program Jelajah Penerangan Pemuda GRS Ranau, yang bertujuan memberikan penerangan mengenai isu-isu politik semasa serta memperkasakan peranan golongan muda dalam menghadapi PRN akan datang.
“Program ini bukan sahaja medan perkongsian ilmu dan pencerahan politik, tetapi juga platform penting untuk memperkukuh semangat juang dan hubungan sesama pemuda GRS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Joachim yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, turut merakamkan penghargaan kepada penganjur atas kejayaan menjayakan program yang dihadiri lebih 70 pemimpin muda daripada sayap Pemuda GRS termasuk Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan PBS mewakili tiga kawasan DUN di Ranau.

Beliau turut meluangkan masa bertemu dengan beberapa rakan kepimpinan termasuk Datuk Abidin Madingkir (ADUN Paginatan), Datuk Dr. Jonnybone J Kurum (Ketua Pemuda GRS Sabah), Datuk Arthur Sen (Naib Presiden PBS & Ketua Bahagian PBS Paginatan) serta Rosdi Abd Ghani (Ketua Pemuda GRS Ranau).
“Kekuatan GRS datang daripada perpaduan di semua peringkat – dari kepimpinan tertinggi hingga ke akar umbi. Pemuda merupakan tunjang masa depan yang akan memastikan perjuangan ini terus segar dan berkesinambungan,” katanya.
Joachim menegaskan bahawa GRS komited membimbing dan memberi ruang kepada generasi muda untuk tampil ke hadapan sebagai pelapis kepimpinan negeri, seiring dengan semangat perjuangan untuk kestabilan dan kemajuan Sabah.
— TAMAT

























Add Comment