KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru golongan muda Sabah agar membuat pilihan yang bijak dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) dengan memberikan mandat kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.
Beliau berkata, anak muda yang merangkumi separuh daripada 1.72 juta pengundi di Sabah memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan negeri, justeru peluang lima tahun sekali ini perlu dimanfaatkan sebaiknya.
“Daripada 1.72 juta pengundi di Sabah, orang muda merangkumi separuh daripada jumlah itu. Saya harap mereka akan memberi peluang kepada kerajaan kerana kita mempunyai hala tuju yang jelas untuk membangunkan Sabah dan memajukan ekonomi negeri,” katanya.
Hajiji berkata demikian pada Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025, di sini, pada Sabtu.

Menurut beliau, kesinambungan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) memerlukan mandat kukuh daripada rakyat, khususnya golongan muda, bagi memastikan projek-projek pembangunan dapat diteruskan secara konsisten.
“Sabah tidak boleh lagi ketinggalan seperti sebelum ini kerana negeri ini mempunyai potensi besar untuk menjadi sebuah negeri maju dan berjaya. Oleh itu, buatlah pilihan terbaik dalam PRN17 bagi menjamin kesinambungan pembangunan, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hajiji turut menegaskan kepentingan kerjasama strategik antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) dalam mewujudkan kestabilan politik serta hubungan erat dengan kerajaan Persekutuan.
“Apa yang kita mahu ialah kemajuan. Kalau mahu maju, kita perlukan bantuan kerajaan Persekutuan. Tapi ada pemimpin di Sabah yang fikirannya hanya akan merugikan negeri pada masa depan. Sebab itu kita teruskan kerjasama GRS-PH, insya-Allah kita akan capai kejayaan,” ujarnya.
Katanya, pengundi muda perlu menilai secara objektif pencapaian kerajaan sedia ada dan menjadi ejen menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat.
“Kita tidak boleh bergerak berdasarkan emosi semata-mata. Cukuplah apa yang berlaku pada masa lalu. Selalu kita bandingkan kenapa kita ketinggalan . Sebab kita sering bertukar kerajaan. Lihat projek Pan Borneo, bila kerajaan baharu ambil alih, PDP dibatalkan dan kita tertinggal empat tahun,” katanya.
Hajiji turut menzahirkan aspirasinya untuk melihat Sabah kekal stabil dan maju di bawah kepimpinan yang kukuh.

“Saya mahu Sabah ada kestabilan politik supaya kita dapat melaksanakan program kerajaan, membangunkan ekonomi dan menyediakan masa depan yang lebih baik untuk anak muda. Teknologi baharu, TVET, AI. Semua ini mesti kita kuasai. Tapi yang utama, kita mesti bersatu padu, ada kestabilan dan kerjasama erat antara negeri dan Persekutuan. Insya-Allah, Sabah akan maju dan makmur,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment