KOTA KINABALU: Dua inisiatif baharu diumumkan kerajaan negeri bagi memperkukuh pembangunan belia Sabah secara lebih inklusif, berimpak tinggi dan strategik menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kedua-dua inisiatif itu ialah penubuhan Majlis Tindakan Belia Sabah dan program Pemikir Muda Ketua Menteri ,hasil kerjasama antara kerajaan negeri, Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Belia Sabah.
Beliau menjelaskan bahawa Majlis Tindakan Belia Sabah akan berperanan sebagai badan pelaksana yang bertanggungjawab terhadap pembangunan serta kesejahteraan belia secara menyeluruh dan bersepadu.
“Inisiatif kedua, iaitu Pemikir Muda Ketua Menteri, pula dijadikan platform baharu bagi anak muda menyampaikan pandangan, idea dan aspirasi mereka secara langsung kepada kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025 di sini, pada Sabtu.
“Anak muda Sabah harus bersedia untuk menyuarakan apa sahaja pandangan mereka kepada kerajaan , untuk kita realisasikan demi manfaat golongan belia dan rakyat Sabah secara keseluruhannya,” katanya.
Hajiji menegaskan bahawa Tamu Suara 360 bukan sekadar program simbolik, sebaliknya satu wahana keyakinan bahawa suara anak muda akan diterjemahkan menjadi dasar.
“Saya mahu setiap kritikan, cadangan, keresahan dan impian anak muda yang dilontarkan sepanjang program ini diangkat menjadi ‘dokumen bernyawa’, diperhalusi dan diterjemahkan menjadi dasar yang benar-benar memberi kesan,” katanya.
Beliau turut berkongsi pelbagai inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasa modal insan dan pendidikan belia sepanjang empat tahun lalu.
Kerajaan negeri, katanya, telah membelanjakan RM1.3 bilion bagi pelbagai program bantuan dan pembangunan modal insan, termasuk peningkatan jumlah biasiswa.
“Tahun ini, seramai 12,000 pelajar menerima biasiswa iaitu 5,000 Bumiputera Islam, 5,000 Bumiputera bukan Islam dan 2,000 daripada masyarakat Cina. Namun, kita tidak berhenti di situ,” jelasnya.
Kerajaan turut menubuhkan Tabung Pendidikan Sabah bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan yang tidak menerima biasiswa. Sehingga kini, lebih 10,000 pelajar telah menerima manfaat daripada tabung tersebut.
Dalam ucapannya, Hajiji turut berkongsi cabaran pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sejak lima tahun lalu yang berjaya distabilkan melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau menyeru golongan muda untuk menjadi ejen penyampai maklumat yang tepat kepada rakyat, terutama dalam menepis tohmahan pihak pembangkang.
“Saya minta suara anak muda jelaskan kepada rakyat apa yang kerajaan buat. Tidak adil bagi kami yang bertungkus-lumus menaikkan hasil negeri dan memulangkan kepada rakyat, tetapi difitnah macam-macam oleh pembangkang,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment