Home » Penurunan kadar pengangguran bukti keberkesanan dasar kerajaan GRS : Azrul
Berita Gagasan Rakyat Politik

Penurunan kadar pengangguran bukti keberkesanan dasar kerajaan GRS : Azrul

Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat merangkap Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Kawang, Azrul bin Ibrahim.

KOTA KINABALU:Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat merangkap Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Kawang, Azrul bin Ibrahim, menegaskan bahawa penurunan kadar pengangguran di Sabah merupakan bukti jelas keberkesanan dasar dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Menurut beliau, kenyataan pihak pembangkang yang cuba memanipulasi fakta mengenai kadar pengangguran negeri adalah tidak berasas dan mengelirukan rakyat. Berdasarkan data rasmi PERKESO bagi tempoh 2020 hingga suku pertama 2025, jelas menunjukkan trend positif di bawah pentadbiran GRS.

“Untuk rekod, kadar pengangguran Sabah pada 2017 ialah 5.6%, meningkat kepada 5.8% pada 2018 dan 5.9% pada 2019, sebelum melonjak kepada 8.2% pada 2020 susulan kegagalan pentadbiran ketika itu menangani impak pandemik COVID-19. Namun, di bawah GRS, kadar ini berjaya diturunkan secara konsisten kepada 6.7% pada suku pertama 2025,” kata beliau.

Azrul menjelaskan, penurunan ini didorong oleh pelbagai usaha kerajaan negeri termasuk pengambilan berfasa dalam sektor perkhidmatan awam, penstrukturan keperluan sumber manusia, peningkatan kemasukan pelaburan, pembinaan kilang dan pusat industri, serta pelaksanaan dasar penyediaan peluang pekerjaan kepada golongan miskin tegar dalam kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau turut memetik data yang menunjukkan jumlah penempatan pekerjaan meningkat daripada 6,922 pada tahun 2020 kepada 11,327 pada 2024, selain penurunan jumlah kehilangan pekerjaan yang semakin menghampiri paras prapandemik.

“Pencapaian ini adalah hasil pengurusan pasaran buruh yang berkesan oleh kerajaan GRS. Sabah tidak boleh kembali ke belakang. Kita memerlukan sebuah kerajaan yang kuat, stabil dan peduli demi menjamin masa depan anak muda,” tegasnya.

TAMAT