SANDAKAN: Selepas gagal menjatuhkan kerajaan Sabah menerusi ‘Langkah Kinabalu’ parti pembangkang cuba menjatuhkan wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui penyebaran video hasutan.
Rakaman video yang disebarkan menggunakan individu tertentu bukan sahaja usaha menggulingkan kerajaan GRS, bahkan wujud dendam yang telah lama dirancang oleh pemimpin pembangkang di Sabah.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah mendakwa, kumpulan ‘Langkah Kinabalu’ itu cuba menebus kekecewaan selepas gagal menguasai kerajaan Sabah melalui ‘pintu belakang’.
“Mereka sentiasa berusaha menggunakan pelbagai propaganda termasuk taktik kotor untuk mempengaruhi rakyat supaya membenci kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Mereka menyedari pengaruh partinya semakin susut, sebab itu merancang pelbagai konspirasi negatif untuk kembali berkuasa,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Masiung berkata, kumpulan Langkah Kinabalu yang kecewa adalah dalang media sosial yang bertanggungjawab menghasilkan video hasutan jahat melibatkan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS baru-baru ini.
Beliau yakin akan ada lagi usaha dan dendam kumpulan pembangkang itu untuk menghasut rakyat Sabah menjelang Pilihanraya Umum Negeri (PRN) tahun ini.
“Kita tengoklah apa lagi yang bakal mereka buat, kita percaya mereka kini sedang merancang agenda untuk menghasut rakyat untuk membenci kerajaan.
“Peningkatan Belanjawan Sabah 2025 yang dibentangkan pada 15 November 2024 lalu jelas memberi tamparan hebat kepada kumpulan pembangkang di Sabah,” katanya.
— Hamzah Sanudin
Add Comment