MEMBAKUT: Sambutan perayaan yang diraikan bersama membuktikan Sabah negeri yang berpegang teguh dengan semangat perpaduan serta saling menghormati antara satu dengan lain, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Katanya, semangat itu dapat disaksikan apabila semua pihak menjalin kerjasama bagi menjayakan Pesta Tanglung dengan menghiasi Pekan Membakut dengan tanglung bercahaya sebagai tanda kebersamaan bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan masyarakat Tiong Hua.
“Syabas dan tahniah kepada penganjur yang terdiri daripada Pejabat Daerah dan jawatankuasa, PPM, Kapitan dan sebagainya yang telah menganjurkan program tahunan ini dengan jayanya.
“Ini tandanya bahawa di kawasan kita, di Membakut khususnya dan di seluruh negeri serta negara kita sentiasa menghargai antara satu dengan lain dan sentiasa menghormati perayaan-perayaan dan meraikan bersama.
“Inilah wadah untuk menjalin muafakat, keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat kita, ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Tanglung di Pekan Membakut, pada Rabu.
Dalam pada itu, Arifin yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi memberitahu, seperti perayaan lainnya, masyarakat Tiong Hua juga menerima sumbangan daripada beliau iaitu sebuah sekolah tadika Pei You dan dua buah tokong.
“Seperti mana biasa apabila ada perayaan kita akan menyampaikan sumbangan untuk rumah ibadat mereka atau persatuan kebudayaan masing-masing.
“Sebelum ini kita menyumbang kepada semua gereja dan semua pimpinan agama Kristian dan selepas Tahun Baru Cina kita akan menyumbang lagi untuk perayaan yang berhubung dengan keagamaan iaitu sempena bulan Ramadan dan insyaAllah kita akan berikan sumbangan kepada masjid serta surau, ” katanya.
Terdahulu, Arifin meluangkan masa menyampaikan limau kepada peniaga-peniaga Tiong Hua di sekitar Pekan Membakut dalam satu program ‘Walkabout’ sekali gus menyantuni masyarakat setempat di pekan itu.
— Kenneddy Corlleus
Add Comment