KENINGAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor meluluskan peruntukan RM15 juta untuk membina sebuah pusat konvensyen mini di Keningau.
Perkara itu diumumkan Hajiji semasa program Jelajah Sayangi Sabah Zon 6 yang diadakan di Dataran Keningau.
Pusat konvensyen mini kata Hajiji bertujuan memberi kemudahan kepada rakyat untuk melaksanakan sebarang program memandangkan Dewan Masyarakat yang ada ketika ini tidak lagi mampu menampung jumlah yang ramai pada satu masa.
Ketika ditanya dimanakah lokasi pusat itu, Hajiji berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan yang juga Ahli Parlimen Keningau untuk menentukan lokasi berkenaan.
Jelajah Sayangi Sabah Zon 6 yang diadakan disini menyaksikan kehadiran sekitar 10,000 orang daripada Tambunan, Bingkor, Liawan, Sook, Tulid, Nabawan, Melalap dan Kemabong serta pemimpin-pemimpin komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Mengenai program jelajah yang diadakan, Hajiji memberitahu ia bertujuan mengeratkan lagi hubungan di antara pemimpin kerajaan GRS dengan masyarakat setempat selain berkongsi mengenai pencapaian gabungan sepanjang empat tahun menerajui kerajaan.
Sementara itu, Jeffrey ketika ditemui menyambut baik pengumuman itu dan berharap pembinaannya dapat disegerakan bagi memastikan ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat di Keningau.
Beliau yang memohon perkara itu memberitahu, kemudahan itu amat diperlukan memandangkan dewan sedia ada agak kecil dan beliau berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana meluluskan hasrat rakyat di pedalaman.
Katanya, lokasi bagi pusat konvensyen mini itu dicadangkan dibina di sebuah tapak tanah kerajaan, yang dahulunya menempatkan kuarters kerajaan yang berhampiran dengan Hotel Perkasa, muzium dan Batu Sumpah Keningau seluas dua ekar.
Tambah Jeffrey, konsep reka bentuk pusat konvensyen mini itu akan bercirikan semua seni kebudayaan masyarakat yang ada di Keningau.
— Kenneddy Corlleus
Add Comment