Home » Perlu kajian naik taraf atau bina pejabat baharu JTU Ranau
Berita Gagasan Rakyat Politik

Perlu kajian naik taraf atau bina pejabat baharu JTU Ranau

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu menjalankan kajian terlebih dahulu bagi melihat sama ada pejabat Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) di daerah Ranau perlu dinaik taraf atau mewujudkan pejabat baharu.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sekiranya ada keperluan, kajian akan dilaksanakan melalui permohonan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).


Katanya, buat masa ini kerajaan negeri belum mempunyai rancangan untuk membina atau menaik taraf pejabat JTU di daerah Ranau.


Bagaimanapun jelasnya, kerajaan turut mengambil maklum dengan keadaan pejabat jabatan berkenaan yang sempit dan kurang kondusif. 


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Amisah Yassin (ADUN Dilantik) adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk membina pejabat baharu JTU Daerah Ranau berikutan keadaan pejabat sedia ada terlalu sempit pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.


Dalam pada itu, Nizam turut menjelaskan mengenai status terkini pembinaan pejabat JTU di daerah Telupid yang kini dalam proses kerja-kerja penyiasatan tanah.


“Ia bertujuan mengumpul maklumat serta penilaian data untuk mengetahui potensi bahaya tapak akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada awal tahun hadapan.


“Sebaik sahaja kerja-kerja penyiasatan tanah dan tapak dikenal pasti, pihak JKR akan membuat reka bentuk bangunan dan anggaran kos bagi pembinaan bangunan berkenaan,” katanya.


Selain itu, Datuk Jonnybone J Kurum (PBS-Telupid) dalam soalan tambahannya turut memaklumkan mengenai geran-geran yang dihantar ke pejabat baharu JTU di Telupid tidak mempunyai tempat selamat untuk disimpan.


Justeru Nizam berkata, pihaknya mengambil maklum perkara itu dan tindakan lanjut akan diambil oleh jabatan yang berkaitan.

— Siti Aisyah Narudin