KOTA KINABALU: Semua permohonan projek kepada kerajaan Persekutuan perlu mendapat perakuan daripada kerajaan negeri terlebih dahulu.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri akan memastikan perkara itu dilaksanakan seperti yang termaktub dalam Garis Panduan Penyediaan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK12) dan Permohonan Projek Pembangunan Tahun 2024-2025 Biayaan Persekutuan.
“Ini adalah untuk memastikan perancangan mengikut keperluan negeri dan pelaksanaan projek disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan.
“Bagi memastikan pelaksanaan projek-projek pembangunan Persekutuan dilaksanakan seperti yang dirancang, usaha-usaha pemantauan dijalankan secara berterusan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO),” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-16 Penggal Keempat di sini, kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog Datuk Ignatius Dorell Leiking yang bertanya, apakah langkah-langkah diambil kerajaan negeri dalam memastikan peruntukan dari kerajaan persekutuan dapat dibelanjakan dengan sepenuhnya memandangkan peruntukan yang dikembalikan pada tahun 2022 amatlah besar.
Selain itu Hajiji berkata, melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah akan berperanan dalam memantau dan membincangkan isu-isu pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di Sabah.
“Selain itu, Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri (JTPNg) Sabah juga ditubuhkan bagi memastikan keputusan mesyuarat MTPNg dilaksanakan sepenuhnya di peringkat negeri.
“Di samping itu, pemerkasaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah melalui pengiktirafan jabatan tersebut sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan (AP 182) oleh kerajaan Persekutuan serta penambahan pegawai-pegawai teknikal baharu, juga merupakan antara inisiatif penting yang membantu kerajaan negeri dalam merancang serta melaksanakan projek pembangunan Sabah dengan lebih efisien,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri mencadangkan agar kerajaan Persekutuan mempertimbangkan supaya peruntukan Persekutuan dapat disalurkan kepada satu Akaun Amanah bagi memastikan peruntukan tersebut tidak luput sekiranya tidak dapat dibelanjakan pada tahun semasa.
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan memantau agar peruntukan dalam Akaun Amanah tersebut digunakan secara efisien mengikut maksud pemberian peruntukan tersebut.
“Untuk makluman, Sabah telah diperuntukkan sebanyak RM5.709 bilion dibawah peruntukan pembangunan daripada kerajaan Persekutuan.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4.457 bilion telah dibelanjakan, manakala sebanyak RM1.252 bilion tidak dapat dibelanjakan disebabkan isu-isu pelaksanaan,” katanya.
Menurutnya, antara isu berkaitan adalah seperti kontraktor dilantik tidak mempunyai kapasiti kewangan mencukupi atau kredit kewangan, tenaga kerja dan kelemahan pengurusan projek.
Katanya, terdapat kelewatan dokumentasi untuk penyambungan utiliti, karenah birokrasi syarikat utiliti dan pemetaan utiliti dalam tanah serta dibawah permukaan sukar dikesan.
“Proses pengambilan balik tanah yang terganggu, bantahan dari pemilik tanah berdekatan lokasi cadangan untuk pembangunan didapati kurang sesuai, keadaan topografi yang sukar dan laluan masuk ke tapak tiada atau terdapat halangan.
“Selain itu, isu pengurusan seperti arahan berhenti kerja oleh Pegawai Penguasa, kesukaran mendapat bahan bekalan binaan dan harga bahan di pasaran naik.
“Kelewatan menyemak serta meluluskan ‘Variation Order’ (VO), kelewatan bayaran kepada perunding atau kontraktor dan pembekal, kelewatan menyemak serta meluluskan lanjutan masa (EOT),” katanya.
Hajiji memberikan jaminan kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah proaktif dalam menangani perkara-perkara tersebut.
“Antaranya, dengan memastikan kebolehlaksanaan sesuatu projek yang dipohon untuk pelaksanaan adalah tinggi pada tahun semasa dan tahun-tahun berikutnya,” katanya.
Add Comment