SANDAKAN: Peruntukan sebanyak RM56.75 juta bagi sekolah-sekolah dan badan-badan agama bukan Islam mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk mewujudkan persekitaran inklusif di mana setiap komuniti sentiasa diberi perhatian.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, peruntukan itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM2.7 juta daripada RM54.05 juta tahun lalu.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga menyokong budaya dan tradisi masyarakat pelbagai kaum di Sabah, termasuk tarian singa yang memiliki sejarah dan sudah menjadi sebahagian kebudayaan masyarakat di negeri ini.
“Menyedari kepentingan ini, pada Januari tahun ini, kerajaan negeri telah menyumbangkan kepala singa kepada 39 persatuan tarian singa di Sandakan.
“Ia sebagai tanda muhibah yang turut dilakukan di daerah lain di seluruh Sabah,” katanya pada Pertandingan Tarian Singa Kebangsaan dan Antarabangsa Little Hong Kong di sini, hari ini.
Teks ucapannya disampaikan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe.
Hajiji berkata, Sandakan yang dahulunya dikenali sebagai Little Hong Kong telah lama menjadi tempat pertembungan pelbagai budaya, di mana tarian singa berkembang sebagai simbol perpaduan dan kebanggaan budaya.
“Tradisi ini dibawa oleh peneroka awal dan sejak itu ia menjadi sebahagian kebudayaan yang dihargai dalam perayaan ini.
“Kumpulan-kumpulan awal telah mengekalkan tradisi ini yang kemudiannya kemahiran serta pengetahuan diwariskan kepada generasi ke generasi, bagi memastikan tarian singa ini tetap menjadi elemen penting dan meriah dalam warisan kebudayaan negeri ini,” katanya.
Hajiji menegaskan tarian singa telah berkembang dan bertapak di Malaysia selama bertahun-tahun lamanya, seterusnya menjadi sebahagian daripada perayaan budaya negara ini, khususnya pada Tahun Baharu Cina dan festival penting yang lain.
“Malah, pada bulan Ogos lalu, kerajaan Malaysia dan China telah bersama-sama mencalonkan tarian singa untuk senarai warisan budaya UNESCO, satu langkah yang saya yakin akan meningkatkan lagi status seni yang terkenal ini di peringkat serantau dan global,” katanya.
Beliau berkata kehadiran lapan pasukan antarabangsa dari pelbagai negara dan dari seluruh Malaysia sekali gus menambah kepelbagaian kebudayaan dalam pertandingan ini.
“Penyertaan mereka bukan sahaja menyerlahkan daya tarikan global terhadap tarian singa tetapi juga mengukuhkan semangat persaudaraan dan saling menghormati.
“Melalui perhimpunan seumpamanya, kita mampu mengukuhkan hubungan, belajar diantara satu sama lain dan meraikan warisan budaya yang kita kongsi bersama,” katanya.
— TAMAT
Add Comment