Home » Pertandingan lumba perahu naga mampu tarik pelancong ke Sabah – Nizam
Uncategorized

Pertandingan lumba perahu naga mampu tarik pelancong ke Sabah – Nizam

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata,sudah tiba masanya Pertandingan lumba perahu naga dinaik taraf menjadi sukan berprestij tinggi dan disertai oleh pasukan daripada luar khususnya negara jiran.

TAWAU: Kerajaan negeri yakin pertandingan lumba perahu naga yang diadakan setiap tahun di daerah ini mampu menjadi salah satu produk pelancongan di negeri Sabah.  

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan negeri akan menyokong usaha penganjur untuk mengangkat acara ini sebagai sukan yang bertaraf antarabangsa.

Katanya, sudah tiba masanya acara ini dinaik taraf menjadi sukan berprestij tinggi dan disertai oleh pasukan daripada luar khususnya negara jiran.

“Kita sudah meminta penganjur meneliti semua kriteria dan syarat-syarat standard antarabangsa untuk dipenuhi supaya ia boleh melibatkan peserta luar negara.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong sekiranya pihak penganjur sudah memenuhi syarat dan bersedia untuk mengadakan pertandingan ini ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan pertandingan perahu naga kali ke-36, di sini hari ini.

Pertandingan yang disertai 19 pasukan daripada seluruh Sabah itu dianjurkan oleh Persekutuan Persatuan Cina Tawau dipengerusikan oleh Datuk Dr Lim Teck Kiong.

Menurutnya, kerajaan juga akan menyokong setiap persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO) sekiranya mahu menganjurkan program yang dapat memberi manfaat kepada semua rakyat di negeri ini.

“Kita akan sentiasa membantu semua aktiviti persatuan atau NGO yang sealiran dengan agenda dan hala tuju Sabah Maju Jaya demi perpaduan serta kemakmuran negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Lim berharap kerajaan negeri dapat memberikan bantuan dan sokongan terhadap penganjuran lumba perahu naga pada masa akan datang.

Katanya, pihak penganjur komited mahu mengadakan acara ini dengan lebih besar dan melibatkan banyak pasukan terutamanya di negeri ini.

“Namun, banyak kekangan yang dihadapi termasuklah kekangan dari segi penyediaan perahu naga yang sangat terhad ketika ini iaitu hanya enam buah sahaja.

“Justeru, saya mengharapkan kerajaan negeri dapat menyumbang empat buah perahu naga lagi untuk kegunaan pertandingan ini pada masa akan datang,” katanya.

Turtu hadir, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang dan Ketua Konsulat Republik Indonesia, Heni Hamidah

Hamzah Sanudin