Home » Pesara tentera syukur terima rumah mesra SMJ
Berita GRS Politik

Pesara tentera syukur terima rumah mesra SMJ

Sahali ditemani isteri sedang berkata sesuatu semasa ditemui di perkarangan rumah mesra SMJ di Kg Rancangan Pamalan.

KENINGAU: Setelah sekian lama menetap di rumah yang uzur dengan atap bocor dan lantai sering dibasahi air hujan, akhirnya pesara tentera, Sahali Siman berasal dari Kampung Rancangan Pamalan bersama keluarganya boleh menarik nafas lega.


Impian mereka untuk memiliki kediaman yang lebih selesa kini menjadi kenyataan dengan penerimaan rumah baharu di bawah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).


Raut wajah kegembiraan jelas terpancar pada Sahali dan isterinya Norlilah Masidi bersama ahli keluarganya ketika dikunjungi.


Beliau tidak dapat menyembunyikan rasa syukur dan terharu atas bantuan yang diterima, yang memberikan mereka tempat berteduh yang lebih selamat dan selesa.


“Dulu, setiap kali hujan, kami terpaksa menggunakan bekas untuk menadah air kerana atap bocor di sana sini. Sekarang, rumah SMJ ini menjadi lambang harapan baharu buat kami sekeluarga,” luah Sahali dengan penuh rasa syukur.


Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Liawan, Fred Toyong bersama Pegawai Kemajuan Masyarakat CDO Addy Adzra Jasni dan petugas Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan yang turut hadir semasa lawatan ke kediaman Sahali, berharap kediaman baharu itu menjadi titik permulaan kehidupan yang lebih baik buat Sahali dan keluarga.


“Semoga kediaman ini membawa keselesaan, kebahagiaan, dan keberkatan kepada kamu sekeluarga. Ini adalah usaha berterusan kami untuk memastikan rakyat, terutama mereka yang memerlukan, dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti,” kata Fred.


Beliau menegaskan bahawa inisiatif itu merupakan sebahagian usaha Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam merealisasikan matlamat SMJ dengan memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman 


Sahali dan keluarganya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman atas sokongan serta keprihatinannya yang telah membantu mereka mendapatkan kediaman baharu.


Annuar akan terus komited dalam usaha memastikan kesejahteraan penduduk setempat, dengan pelbagai inisiatif yang membawa perubahan positif dalam kehidupan rakyat.

–Kenneddy Corlleus

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment