Home » PIBG kerajaan kecil di sekolah selain penghubung-Masiung
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

PIBG kerajaan kecil di sekolah selain penghubung-Masiung

SIJIL: Masiung (dua kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta seminar.

TONGOD: Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah kerajaan kecil di peringkat sekolah selain menjadi duta penghubung antara ibu bapa, masyarakat dan kerajaan.

Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata PIBG juga boleh memainkan peranan aktif sebagai badan penilai kepada prestasi pendidikan dan pentadbiran di sekolah masing-masing.

“Barisan jawatankuasa PIBG boleh menyalurkan pandangan sambil bertukar pendapat dengan guru dan masyarakat mengenai prestasi akademik, sahsiah dan disiplin pelajar tanpa perlu ada sikap iri hati.

“Ambilah contoh seperti hikayat legenda Melayu ‘Singapura Dilangar Todak’ di mana seorang kanak-kanak cerdik, Hang Nadim berusia tujuh tahun mensyorkan kepada Maharaja Temasik untuk membina benteng daripada batang pisang di sekeliling pantai sebagai perangkap kepada serangan ikan todak terbabit.

“Dalam kejadian itu, ramai penduduk Temasik (Singapura) terbunuh akibat serangan ikan todak selepas Maharaja memerintahkan rakyatnya berkampung di sekeliling pantai sebagai kubu menghalang serangan todak,” katanya semasa berucap merasmikan Seminar Memperkasa Ahli Jawatankuasa PIBG peringkat daerah Telupid dan Tongod di Dewan Kampung Simpang Entilibon di sini.

Masiung berkata akhirnya, pembesar istana menghasut Maharaja supaya membunuh Hang Nadim kerana bimbang kecerdikan anak lelaki Laksmana Hang Jebat itu akan menyebabkan mereka hilang kuasa.

Katanya guru dan ibu bapa pelajar disaran mengambil iktibar dari hikayat Hang Nadim agar setiap cadangan yang bernas harus diterima baik sekalipun idea itu datangnya daripada murid yang kerdil.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu mahukan tenaga pengajar dan ibu bapa menjadi pencetus semangat yang dicipta pelajar sama ada menerusi pencapaian akedimik atau bidang sukan.

“Setiap bakat dan inovasi yang dicipta pelajar hendaklah diberikan galakan dan jangan sekali-kali kejayaan mereka dicantas secara halus,” katanya.

Lebih 400 peserta dari 36 kumpulan jawatankuasa PIBG termasuk lima PIBG sekolah menengah di daerah Telupid dan Tongod menyertai seminar itu.

— Vivi Olviana Najurus