TAWAU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak sekolah perlu bekerjsama dalam melahirkan murid yang cemerlang dalam semua aspek.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerjasama itu seharusnya dijadikan platform bagi melancarkan semua aktiviti di sekolah.
Katanya, PIBG dan pihak sekolah mempunyai peranan masing-masing bagi meningkatkan kecemerlangan murid-murid dari segi akademik mahupun kokurikulum.
“Kita dapat melihat sesebuah sekolah yang cemerlang, sudah pasti mempunyai hubungan yang sangat akrab antara PIBG, ibu bapa, guru-guru dan pihak pentadbiran sekolah.
“Justeru, saya mahukan semua sekolah di daerah ini sentiasa mewujudkan suasana yang lebih kondusif buat murid-murid,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Kinabutan Besar Kali Ke-44, di sini semalam.
Menurutnya, kejayaan penganjuran sukan olahraga ini menunjukkan kesepakatan dan kerjasama antara PIBG dengan pihak sekolah sentiasa terjalin.
Katanya, kejohanan ini tidak akan berjaya tanpa adanya sokongan serta sambutan yang padu daripada PIBG dan ibu bapa di SK Kinabutan Besar.
“Saya melihat kehadiran ibu bapa sangat ramai dan ini menunjukkan komitmen mereka terhadap setiap aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
“Ia juga merupakan petunjuk bahawa kerjasama PIBG di SK Kinabutan Besar komited menjalankan amanah dengan baik sehingga memberi impak positif kepada sekolah ini,” katanya.
Nizam berharap dengan adanya kerjasama yang padu ini dapat melahirkan murid-murid yang cemerlang dalam bidang akademik dan sukan.
“Saya juga mahu melihat, sekolah ini dapat melahirkan atlet olahraga yang boleh sampai ke peringkat kebangsaan pada masa akan datang,” katanya.
— Hamzah Sanudin
Add Comment