KOTA KINABALU: Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Sabah menyatakan kehadiran mereka ke Himpunan Bangkit Sabahan pada 31 Disember adalah untuk menolak hasutan melampau dan politik kebencian.
Pertubuhan itu dalam satu kenyataan memaklumkan PLG menegaskan penghinaan Fahmi Reza terhadap Yang DiPertua Negeri Sabah Tun Musa Aman melalui lukisan satira wajar ditolak kerana bersifat hasutan dan kebencian.
“Pada hemat PLG Sabah, tindakan Fahmi itu bercanggah dengan prinsip Rukun Negara yang menekankan Keluhuran Perlembagaan serta Kesopanan dan Kesusilaan.
“Oleh itu, kehadiran PLG Sabah dalam Himpunan Bangkit Sabahan adalah bagi menyatakan solidariti kepada semangat patriotisme khususnya melibatkan Institusi Ketua Negeri Sabah dan keabsahan perlembagaan negeri dan negara.
“Pada masa sama, PLG Sabah juga bersama dalam suara rakyat untuk menolak dan membanteras rasuah, tanpa menafikan kreadibiliti pihak yang bertanggungjawab untuk menjalankan fungsinya,” katanya.
Menurutnya, PLG Sabah juga percaya sistem perundangan dan penguatkuasaan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institusi Kehakiman masih boleh diandalkan untuk menguruskan isu terkait tanpa memilih kelas dan status.
“PLG Sabah hadir atas kapasiti Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bebas dan mempunyai pendirian bahawa penyasaran demonstrasi yang bermotif politik kebencian dan eksploitasi terhadap mahasiswa harus ditolak.
“PLG Sabah menerima bahawa demonstrasi adalah sebahagian dari alat demokrasi, tetapi biarlah bebas dan mempunyai matlamat jelas.
“Kami menyeru agar nilai demokratik, kemandirian, perpaduan dan keharmonian rakyat Sabah terus dipelihara,” katanya.
— TAMAT
Add Comment