Home » Program TS25 lahirkan guru berkualiti: Hajiji
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Program TS25 lahirkan guru berkualiti: Hajiji

KOTA KINABALU: Program Tranformasi Sekolah 2025 (TS25) mampu melahirkan guru berkualiti dan persekitaran Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) yang bermakna di negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, program ini perlu mendapat sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti.

Katanya, TS25 adalah satu usaha ke arah melahirkan modal insan unggul melalui persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan.

“Ia turut disokong kepimpinan berkualiti dan berwawasan, guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi serta komitmen komuniti yang padu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Kolokium TS25 Peringkat Antarabangsa 2023 di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Menurutnya, program TS25 juga sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti.

“Kerajaan negeri sangat mengalu-alukan dan menyokong Program TS25 dalam usaha membantu meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan di negeri ini,” katanya.

Katanya, kolokium yang bertemakan ‘Tranformasi Sekolah Melonjak Kecemerlangan Daerah’ selama dua hari itu melibatkan penyertaan dan pembentang perkongsian amalan terbaik Transformasi TS25 dari peringkat sekolah, pendidikan daerah dan negeri serta institusi pendidikan luar negara.

“Platform dari sekolah ke persada antarabangsa ini memenuhi tuntutan cabaran transformasi globalisasi dalam pendidikan.

“Ia supaya pendidik di sekolah-sekolah TS25 lebih bermotivasi untuk terus transform, berkarya, berkongsi kejayaan dari amalan terbaik, dapatan kajian, intervensi, kreativiti dan inovasi,” katanya.

Beliau berkata, kelangsungan pengantarabangsaan kolokium ini juga dapat memastikan kesinambungan penyelidikan, inovasi dan pendidikan kita terus subur berkembang.

“Ramai dalam kalangan pendidik kita di sekolah TS25 yang mempunyai hasil dapatan kajian berimpak tinggi, strategi pengajaran dan pembelajaran bermakna.

“Selain itu, dapatan mengenai inovasi yang mampu mengurangkan atau mengatasi isu di dalam bilik darjah tetapi tidak dikongsi dan disebarkan untuk dijadikan amalan terbaik oleh warga pendidik yang lain,” katanya.

Hajiji berharap melalui kolokium itu semakin banyak penghargaan dan pengiktirafan penyelidikan, inovasi dan amalan baik dapat dimantapkan sehingga menjadi bitara budaya kerja cemerlang.

“Penyertaan peserta dan pembentang kolokium TS25 merupakan dinamika paradigma positif dalam tranformasi yang membawa impak kecemerlangan pendidikan di peringkat daerah, negeri dan negara.

“Saya juga berharap hasil daripada kolokium itu dapat dikongsikan dan digunakan demi kecemerlangan dan kemenjadian murid serta sekolah, khususnya di negeri ini,” katanya.

— TAMAT