RANAU:Kerajaan Sabah menghargai komitmen berterusan Sabah Electricity (SE) dalam memperkukuh sistem pembekalan elektrik di daerah ini melalui pelaksanaan projek infrastruktur tenaga yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun berkata antara usaha penting yang dilaksanakan ialah pembinaan Pencawang Pembahagian Utama Ranau 33/11kV yang menelan kos lebih RM30 juta.
Menurut Masidi, pencawang tersebut kini menghubungkan daerah Ranau secara terus kepada grid elektrik Sabah sekali gus meningkatkan kestabilan bekalan tenaga di kawasan berkenaan.
“Kemudahan ini memberi manfaat kepada lebih 15,000 pengguna di Ranau selain meningkatkan kestabilan serta kecekapan bekalan elektrik kepada penduduk dan premis perniagaan di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan yang berlangsung di Kampung Karanaan, di sini pada Selasa.
Masidi berkata inisiatif tersebut juga merupakan langkah penting dalam menyokong pembangunan ekonomi setempat selain merangsang pertumbuhan sektor pelancongan di kawasan Ranau dan Kundasang yang semakin berkembang.
Menurut beliau, bekalan elektrik yang stabil amat penting bagi menyokong aktiviti ekonomi, perniagaan serta industri pelancongan yang menjadi antara sektor utama pembangunan di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, Masidi turut menyambut baik penglibatan syarikat swasta, individu berkepentingan serta badan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di negeri ini.
Katanya, komitmen tersebut amat penting dalam membantu golongan memerlukan termasuk asnaf, fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal serta keluarga kurang berkemampuan.

“Kerajaan sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap sebarang usaha pihak tertentu dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial sebagai inisiatif membantu golongan yang memerlukan.
“Usaha yang dilaksanakan Sabah Electricity ini juga menunjukkan komitmen syarikat tersebut dalam memupuk nilai keprihatinan sosial serta menghargai peranan institusi keagamaan dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.

























Add Comment