PENAMPANG: Kemudahan kompleks sukan di Sabah memerlukan perhatian serius bagi memastikan ia mampu memberi keselesaan kepada atlet serta orang ramai yang menggunakan fasiliti tersebut.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kebanyakan kompleks sukan di negeri ini merupakan kemudahan lama dan memerlukan kerja pembaikan serta naik taraf.
Menurut beliau, antara kemudahan yang diberi perhatian ialah trek larian di Stadium Penampang yang didapati berada dalam keadaan kurang memuaskan.
“Hasil lawatan mendapati trek larian di Stadium Penampang berada dalam keadaan agak daif dan memerlukan kerja pembaikan serta naik taraf bagi memastikan ia selamat dan selesa digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan 2026 anjuran Pertubuhan Masyarakat Interaktif Suara Sabah (MISUR) dan Pertubuhan Kebajikan Cahaya Sabah di Kapayan, di sini.
Menurut Nizam, kementerian telah mengarahkan pegawai berkaitan untuk menjalankan penilaian terperinci serta menyediakan anggaran kos bagi tujuan pembaikan trek berkenaan.
“Anggaran kos masih di peringkat penelitian sebelum permohonan peruntukan dikemukakan kepada kerajaan negeri melalui Kementerian Kewangan.
“Apabila anggaran kos diperoleh, kita akan memohon peruntukan supaya kerja pembaikan trek di Stadium Penampang dapat dilaksanakan demi keselesaan pengguna,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhan terdapat kira-kira 16 hingga 17 kompleks sukan di seluruh Sabah.
Bagaimanapun, katanya, beliau masih belum sempat membuat lawatan ke semua kompleks sukan tersebut setakat ini.
“Setakat ini saya telah melawat beberapa kompleks sukan utama termasuk di Kota Kinabalu, Penampang dan Sandakan bagi melihat sendiri keadaan kemudahan yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat juga kompleks sukan yang berdepan masalah projek terbengkalai, termasuk Kompleks Sukan Tawau.
Menurutnya, kementerian telah mengambil tindakan termasuk menamatkan kontrak syarikat yang terlibat dalam projek tersebut.
“Kita telah menamatkan kontrak syarikat berkenaan dan kontrak baharu akan ditawarkan kepada syarikat lain supaya projek itu dapat disiapkan,” katanya.
Nizam berkata usaha menaik taraf kemudahan sukan amat penting bagi memastikan pembangunan sukan di Sabah dapat terus diperkasa.
Menurut beliau, kemudahan sukan yang baik bukan sahaja memberi keselesaan kepada pengguna, malah mampu membantu melahirkan lebih ramai atlet berpotensi yang boleh bersaing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Sementara itu, Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan 2026 anjuran MISUR dan Pertubuhan Kebajikan Cahaya Sabah turut menyantuni seramai 66 golongan asnaf terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), anak yatim serta warga emas di sekitar Kapayan.

























Add Comment