Home » Rakyat Sabah tidak mudah terpedaya janji PKDM – Jaffari
Berita GRS Politik

Rakyat Sabah tidak mudah terpedaya janji PKDM – Jaffari

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam

KOTA KINABALUL: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menolak tuduhan Pemangku Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Priscella Peter, yang menyeru rakyat menukar kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat, Datuk Jaffari Waliam, berkata kenyataan itu hanya menggambarkan kegagalan PKDM mencari modal politik dan bukannya berasaskan fakta sebenar tentang prestasi kerajaan negeri.

“Priscella menuduh kerajaan GRS gagal dan hanya pandai menabur janji. Realitinya, sejak 2020 kerajaan GRS berjaya memulihkan ekonomi yang tenat, meningkatkan pelaburan, menambah hasil negeri serta melaksanakan projek infrastruktur. Itu bukan janji kosong, tetapi bukti nyata,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, PKDM tidak mempunyai rekod pencapaian untuk ditunjukkan kepada rakyat.

“Mereka tidak ada pengalaman mentadbir, tidak ada hasil kerja nyata. Hanya tahu berpolitik setiap masa. Rakyat Sabah tidak semudah itu untuk dipengaruhi dengan ucapan retorik tanpa asas. Kalau mahu bercakap soal kegagalan, lebih baik lihat cermin parti sendiri,” katanya.

Jaffari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik menjelaskan, isu jalan raya, air dan pekerjaan yang sering dibangkitkan pembangkang bukanlah diabaikan, malah sedang ditangani melalui dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kerajaan sudah memperuntukkan berbilion ringgit untuk projek jalan raya, bekalan air bersih dan peluang pekerjaan menerusi pelaburan industri baharu. Pelaburan meningkat setiap tahun, peluang kerja juga bertambah. Fakta ini tidak boleh dinafikan hanya kerana kepentingan politik,” katanya.

Beliau turut menyifatkan serangan Priscella terhadap GRS sebagai percubaan menutup kelemahan dalaman partinya sendiri.

“Kita tahu PKDM berdepan perpecahan dan ditinggalkan oleh pengasasnya sendiri. Kini mereka cuba hidupkan semangat dengan menyerang GRS. Tetapi rakyat sudah matang dan boleh menilai siapa yang bekerja untuk mereka, dan siapa hanya pandai bercakap,” katanya.

Jaffari menegaskan, keyakinan GRS menghadapi PRN semakin tinggi kerana rakyat telah melihat hasil nyata pentadbiran kerajaan hari ini.

“GRS bukan sekadar slogan. GRS adalah kerja nyata, pencapaian nyata, dan kesejahteraan rakyat yang semakin meningkat. Rakyat Sabah tidak akan mudah diperdaya dengan janji kosong KDM,” tegasnya.

— TAMAT