Home » Golongan muda perlu manfaatkan teknologi digital secara positif :Masiung
Berita GRS Politik

Golongan muda perlu manfaatkan teknologi digital secara positif :Masiung

KENANGAN: Masiung (dua kiri) menyerahkan hadiah kepada salah seorang pemenang pada majlis itu.

TONGOD: Generasi muda digesa mengambil peluang daripada perkembangan teknologi digital bagi memperkukuh ekonomi diri, bukannya terpengaruh dengan hasutan atau fitnah di media sosial.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata ketagihan media sosial dalam kalangan belia seharusnya dijadikan nilai tambah untuk menimba ilmu dan menjana pendapatan, bukannya digunakan sebagai platform menyerang pihak lain.

“Ramai belia hari ini mampu menjadikan media sosial sebagai kerjaya sepenuh masa, termasuk menghasilkan siaran langsung yang memberi pulangan lumayan. Sayangnya, masih ada segelintir yang menyalahgunakannya untuk tujuan negatif, termasuk menyebarkan fitnah demi kepentingan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutupan Kejohanan Sepak Takraw Piala ADUN Kuamut anjuran Belia Wawasan Tongod di Kampung Lingkabung, semalam.

Masiung turut mengingatkan, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN17), media sosial semakin rancak digunakan oleh kumpulan tertentu untuk menyerang kerajaan.

“Hampir setiap hari kita lihat ‘cybertrooper’ berbayar dari pertubuhan politik tertentu menggunakan media sosial untuk menanam kebencian terhadap kerajaan. Saya nasihatkan anak muda supaya jangan mudah diperalatkan oleh pemimpin yang bermotifkan politik sempit,” katanya.

Masiung menegaskan, golongan belia perlu berfikir secara matang serta menggunakan teknologi digital untuk tujuan yang membina, sejajar dengan hasrat kerajaan negeri membangunkan masyarakat melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

— TAMAT